PRN Negeri Sembilan: Prestasi ekonomi sudah atasi sasaran manifesto BN - Aminuddin

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 3:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Prestasi ekonomi sudah atasi sasaran manifesto BN - Aminuddin
Aminuddin (kanan) menyantuni orang ramai ketika berkempen di Warung Sulaiman pada Sabtu. Foto Bernama

PORT DICKSON - Prestasi ekonomi Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), khususnya dalam aspek pelaburan telah mengatasi sasaran ditetapkan Barisan Nasional (BN) dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar berkata, sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun yang diumumkan itu tidak mencerminkan prestasi sebenar ekonomi Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerajaan negeri merekodkan pelaburan berjumlah RM19 bilion pada tahun lepas manakala bagi enam bulan pertama tahun ini hampir RM13 bilion berjaya dicapai, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM30 bilion dalam hanya satu tahun setengah.

"Kalau sasaran mereka hanya RM30 bilion untuk lima tahun kita telah melepasi angka itu dalam tempoh lebih kurang satu tahun setengah sahaja.

"Kerajaan negeri meletakkan sasaran minimum RM10 bilion pelaburan setahun kerana kita yakin Negeri Sembilan mampu mencapai prestasi yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita semasa program jelajah mesra di Pekan Linggi hari ini yang turut disertai Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

Aminuddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, sasaran pelaburan yang lebih tinggi penting bagi memastikan Negeri Sembilan kekal sebagai destinasi pelaburan kompetitif untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Berhubung cadangan BN untuk menyusun semula pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV), beliau berkata, kerajaan PH telah lebih awal menambah baik pelan pembangunan kawasan itu dengan memberikan keutamaan kepada pembangunan sektor perindustrian berbanding perumahan.

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat tinggal, bekerja dan beriadah di Negeri Sembilan tanpa perlu berhijrah ke luar bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beberapa insentif ditawarkan BN mempunyai persamaan dengan inisiatif diperkenalkan PH sebelum ini, namun PH mengambil pendekatan lebih menyeluruh apabila manfaat turut diperluas kepada golongan M40 selain meneruskan bantuan kepada kumpulan B40.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved