PRN Negeri Sembilan 'turning point' tumbangkan PH - Ahmad Fadhli

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 9:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan 'turning point' tumbangkan PH - Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

SEREMBAN - Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai titik pusingan atau 'turning point' utama ke arah usaha menumpaskan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, momentum yang bakal tercipta di Negeri Sembilan akan menjadi detik bersejarah yang menjadi pemula kepada penolakan gabungan itu di peringkat Persekutuan.

Beliau menjelaskan, situasi di Negeri Sembilan ketika ini amat menarik untuk diperhatikan, berbeza dengan fasa pertama di Johor sebelum ini yang berlangsung dalam keadaan perancangan dan situasi yang kurang mengizinkan.

"Jika dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini kita berada pada separuh masa pertama dengan perancangan dalam situasi yang tidak mengizinkan, namun di Negeri Sembilan situasinya sangat menarik.

"Sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak menjalinkan kerjasama, sudah tentu kerajaan yang akan terbentuk kelak adalah di bawah PH.

"Atas misi itulah, malam ini (semalam) PN mengumumkan calon-calonnya bagi mengisi kekosongan kerusi yang sebelum ini dikosongkan oleh BN melalui pemuafakatan yang kita sedia ketahui," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video yang dimuat naik di Facebook, sebelum pengumuman calon PH di Kompleks Pas Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Terdahulu, BN mengumumkan senarai calon mereka bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dengan menyaksikan 11 kerusi tidak ditandingi oleh gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menyifatkan perkembangan politik di Negeri Sembilan ketika ini seolah-olah menjadi isyarat kepada talian hayat terakhir bagi kerajaan pimpinan PH.

"Saya yakin ini merupakan detik-detik terakhir dan hela nafas terakhir yang sedang berhembus melalui saluran pernafasan kerajaan PH," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi di Negeri Sembilan, khususnya pengundi Melayu dan Islam, agar menyedari kepentingan muafakat politik yang dibawa oleh PN demi masa depan negeri tersebut.

"Di Negeri Sembilan, kita sedia menterjemahkan muafakat ini menerusi tema kempen gabungan iaitu 'N9 Kita Jago' serta 'Beradat, Muafakat, Berkat'," tambahnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved