
SEREMBAN - Warga emas dilihat mendominasi kehadiran pengundi dengan tiba lebih awal di majoriti pusat mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini.
Kehadiran mereka mengatasi golongan muda, sekali gus menyumbang kepada kadar keluar mengundi yang memberangsangkan pada sebelah pagi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, peratusan keluar mengundi mencecah 28.11 peratus setakat jam 11 pagi, selepas kesemua 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka serentak pada jam 8 pagi.
Menurut beliau, tinjauan di beberapa pusat mengundi sekitar Seremban mendapati kehadiran pengundi warga emas lebih ketara berbanding golongan muda.
“Kita dapati lebih ramai warga emas keluar mengundi berbanding golongan muda. Jadi, saya berharap golongan muda dapat segera keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Berdasarkan ramalan cuaca, keadaan pada sebelah petang dijangka kurang baik. Hanya Port Dickson dijangka mengalami cuaca baik sehingga petang, manakala daerah lain berkemungkinan dilanda hujan,” katanya.
Ramlan berkata, SPR yakin sasaran kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus mampu dicapai berdasarkan persaingan sengit sepanjang tempoh kempen selama dua minggu.
“Sepanjang tempoh kempen, kita menyaksikan persaingan yang amat sengit antara parti-parti yang bertanding.
“Kita percaya semua pihak telah mengambil inisiatif untuk menggalakkan seramai mungkin penyokong mereka keluar mengundi.
“Kita juga melihat suasana dalam kalangan pengundi amat positif dan ramai yang berminat untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SPR turut melaksanakan projek perintis penggunaan sistem Optical Character Recognition for Voter Attendance (OCR-VA) di tujuh saluran mengundi bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi digital dalam merekod kehadiran pengundi.
Menurutnya, projek perintis itu hanya melibatkan proses perekodan kehadiran pengundi menggunakan kad pengenalan dan tidak menjejaskan proses pengundian.
“Hasil pelaksanaan projek tersebut akan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat selepas sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan,” katanya. - Getaran, 1 Ogos 2026






