SHAH ALAM - Hanya tiga daripada sembilan calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, manakala enam lagi tewas dalam saingan.
Tiga calon wanita yang berjaya dipilih menang kerusi ditandingi terdiri daripada Nicole Tan Lee Koon dari Pakatan Harapan (PH) di DUN Bukit Kepayang, S Leza Md Yasin daripada Barisan Nasional (BN) di DUN Pilah dan Siti Nur Umaira Hasim (BN) di DUN Labu.
Nicole yang juga penyandang terus mengekalkan penguasaan PH di Bukit Kepayang apabila memperoleh 24,096 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Lee Boon Shian yang meraih 8,889 undi dengan majoriti 15,207 undi.
Di DUN Pilah, pertembungan dua calon wanita memihak kepada BN apabila S Leza menewaskan penyandang PH, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dengan majoriti tipis 730 undi selepas memperoleh 6,830 undi berbanding 6,100 undi.
Sementara itu, Siti Nur Umairah pula mencatat kemenangan selesa di DUN Labu apabila memperoleh 14,209 undi, mengatasi calon PH, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak yang meraih 8,930 undi dan calon Bersatu, Anip Abu Bakar yang memperolehi 1,985 undi.
Enam lagi calon wanita gagal memperoleh mandat pengundi iaitu Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) di DUN Jeram Padang, Zarinna Abu Zarin (PH) di DUN Lenggeng, Azzah Harun (Bersatu) di DUN Ampangan, Noorzunita (PH) di DUN Pilah, Yap Siok Moy (BN) di DUN Rahang dan Siti Aishah Seman Othman (PH) di DUN Gemas.
Keputusan itu menyaksikan dua daripada tiga calon dipertaruhkan BN berjaya memenangi kerusi ditandingi mereka, manakala PH pula menyaksikan seorang daripada tiga calon wanitanya diberi mandat oleh rakyat Negeri Sembilan.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan seramai 103 calon yang disahkan bertanding dengan menampilkan seramai 94 calon lelaki bertanding berbanding hanya sembilan calon wanita.

![[VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/AHMAD-ZAHID-ISTANA-HINGGAP-1024x768.jpeg)




