IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menambah kekuatan anggota dan aset logistik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, persiapan awal sedang dilakukan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, selamat dan terkawal.
Menurutnya, fokus utama KDNKA adalah untuk menyediakan keperluan sumber manusia serta logistik yang mencukupi sepanjang tempoh pilihan raya.
“Kita akan membuat persiapan dan bersiap siaga dari segi penugasan, terutamanya dalam menyediakan sumber manusia dan logistik bagi memastikan semua proses pilihan raya berjalan dengan baik, lancar dan selamat.
“Ketika ini, saya masih mendapatkan taklimat daripada Ketua Jabatan Ketenteraman Awam di kontinjen Johor dan Negeri Sembilan berhubung keperluan penugasan yang akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, sekiranya jumlah anggota di kontinjen terlibat tidak mencukupi, pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada kontinjen berdekatan.
Mengulas mengenai keperluan logistik, beliau berkata, penilaian masih dilakukan kerana setiap negeri mempunyai keperluan yang berbeza berdasarkan keluasan kawasan, jumlah lokasi penugasan dan bentuk muka bumi.
“Penugasan bergantung pada beberapa faktor termasuk keluasan negeri, bentuk muka bumi dan keperluan operasi di sesuatu kawasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi segala peraturan serta arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh pilihan raya.
Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pusat pengundian serta kawasan terlibat sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Pada majlis itu, Mohd Yusri menyaksikan upacara serah terima tugas antara Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin dengan Ketua Polis Perak yang baharu, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.


