
SHAH ALAM - Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyerahkan sepenuhnya kepada parti keputusan sama ada akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Memetik Free Malaysia Today (FMT), bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kini beliau meneruskan tanggungjawab sedia ada sebagai ketua bersama sekretariat jawatankuasa penasihat Kementerian Kewangan yang diketuai Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Saya bagaimanapun terikat dengan keputusan parti saya,” katanya pada Rabu.
Beliau menambah, PH telah bersiap sedia bagi menghadapi cabaran dalam PRN akan datang.
Katanya, setiap anggota parti perlu mengukuhkan Kerajaan Perpaduan dalam setiap sudut.
“Kestabilan politik merupakan perkara penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Nurul Izzah dilapor bakal bertanding dalam PRN Pulau Pinang sekali gus ditawarkan portfolio penting sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Menurut sumber FMT, penyertaan Nurul Izzah mampu meningkatkan peluang parti tersebut mengekalkan kerusi DUN dan membantu mendapatkan undi wanita di kawasan itu.
