Tanding PRN Pulau Pinang? Ini Respons Nurul Izzah

Politics
31 May 2023 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tetap komited dengan peranannya sebagai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican - Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tidak lama lagi.

Sebaliknya, mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau tetap komited dengan peranannya sebagai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican.

“Tidak benar. Saya menggesa media untuk bertanggungjawab dalam laporan mereka dan tidak memberi kepercayaan terhadap dakwaan tidak berasas,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Terdahulu, portal FMT memetik sumber sebagai berkata, Nurul Izzah dijangka bertanding pada PRN Pulau Pinang dan akan diberikan portfolio penting sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

Sumber yang enggan namanya didedahkan berkata, penyertaan anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pada PRN Pulau Pinang boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di DUN negeri dan meraih undi golongan wanita.

Nurul Izzah pernah menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal (2008-2018) manakala Permatang Pauh pada 2018 hingga 2022.

Bagaimanapun beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Fawwaz Mohamad yang mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kerusi di kubu kuat PKR sejak 1982.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menang dengan majoriti 5,272 selepas memperoleh 37,638 undi mengatasi Nurul Izzah yang meraih 32,366 undi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun.

Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan juga dijadual membubarkan DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir bulan depan. – Getaran, 31 Mei 2023