PRN Sabah: Hajiji Dijangka Angkat Sumpah Ketua Menteri Malam Ini

LocalPolitics
29 Nov 2025 • 11:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu malam ini.

Ia berdasarkan keputusan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menyaksikan GRS kekal mendahului.

Petunjuk awal juga menunjukkan GRS berada di landasan untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurut sumber dalaman GRS, beberapa siri perbincangan kepimpinan telah berlangsung sejak petang tadi, melibatkan rundingan dengan rakan-rakan gabungan serta parti sekutu di peringkat Persekutuan.

Sumber memaklumkan, Istana Seri Kinabalu telah diberi taklimat mengenai perkembangan pembentukan kerajaan baharu.

Persiapan awal juga sedang dijalankan untuk mengadakan majlis menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Kiraan tidak rasmi menunjukkan GRS memperoleh 30 kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu kurang tujuh kerusi daripada majoriti mudah.

Dengan Pakatan Harapan memegang dua kerusi, serta potensi sokongan daripada calon bebas dan parti kecil, Hajiji dijangka mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk pentadbiran baharu.

Sebuah portal berita tempatan di Sabah melaporkan, sekatan jalan raya pihak polis sedang didirikan di sepanjang jalan masuk menuju ke kediaman rasmi Tuan Yang Terutama.

Difahamkan, hanya RTM dan beberapa organisasi media terpilih yang diakreditasi oleh istana dibenarkan masuk.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan rasmi. - Getaran, 29 November 2025