
PETALING JAYA: Kemenangan tanpa bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Petra Jaya merupakan pengiktirafan terhadap rekod perkhidmatan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta kepemimpinan gabungan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 itu diraih Datuk Fazzrudin Abdul Rahman di DUN Tupong, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Datuk Ibrahim Baki (Satok).
Katanya, ia turut mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan GPS diterajui Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
“Kemenangan tanpa bertanding ini bukan sekadar satu pencapaian, malah mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan terhadap rekod perkhidmatan serta komitmen berterusan ketiga-tiga penyandang dalam mendengar, memahami dan memperjuangkan keperluan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, beliau akan meneruskan kerjasama dengan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan bagi membangunkan kawasan itu, selain memastikan penduduk mendapat khidmat terbaik.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut mengingatkan bahawa mandat yang diterima merupakan amanah yang perlu digalas dengan penuh dedikasi dan integriti tanpa mengabaikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petugas pilihan raya, pasukan keselamatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen memastikan kelancaran proses penamaan calon.
Pada PRN Sarawak Ke-12, ketiga-tiga penyandang berkenaan berjaya memenangi kerusi masing-masing, sekali gus mengekalkan penguasaan GPS di semua DUN dalam Parlimen Petra Jaya.
Kali ini, GPS mempertaruhkan 71 penyandang dan 11 muka baharu bagi merebut kesemua 82 kerusi selepas memenangi 76 kerusi pada 2021.
Hari ini, SPR mengesahkan seramai 29 calon menang tanpa bertanding pada PRN Sarawak Ke-13.
SPR menetapkan hari pengundian pada 12 Disember ini manakala pengundian awal pada 8 Disember. – UTUSAN
The post Kemenangan mutlak di Petra Jaya cerminan keyakinan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.





