
KUALA LUMPUR - Keputusan PKR untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah demi menghormati semangat kerjasama politik, bukan kerana tunduk kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Ini adalah kerjasama, bukan tunduk,” katanya ringkas selepas melancarkan Dasar Keselamatan Negara 2026–2030 di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyusul tindakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mempersoalkan keputusan PKR untuk tidak menyertai PRN yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.
Chong sebelum ini membayangkan PKR mengambil pendirian tersebut bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap sokongan GPS kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berpendapat, pertimbangan politik sedemikian tidak seharusnya menghalang persaingan demokratik di Sarawak.
Tegas Chong, negeri itu memerlukan barisan pembangkang yang lebih kukuh bagi memastikan GPS terus dipertanggungjawabkan terhadap pentadbirannya, selain menjamin pelaksanaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan.
Pada Selasa lalu, PKR mengumumkan tidak akan meletakkan calon dalam PRN berkenaan, dengan mengambil kira persefahaman politik serta kerjasama yang terjalin bersama GPS menerusi kerajaan perpaduan.
Selain PKR, Barisan Nasional (BN), PAS, Amanah, Bersatu dan Parti Wawasan Negara turut mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya tersebut.
Perkembangan itu menyaksikan DAP menjadi satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding, dengan mengemukakan 12 calon bagi menghadapi PRN Sarawak ke-13.
Hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini (28 November), manakala pengundian akan berlangsung pada 12 Disember.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar menegaskan Malaysia perlu memperkukuh persediaan menghadapi ancaman serangan siber yang bukan sahaja menyasarkan infrastruktur pertahanan, malah berpotensi menjejaskan sistem kewangan negara.
Menurut beliau, aspek keselamatan siber kini menjadi antara keutamaan dalam Dasar Keselamatan Negara 2026–2030, sejajar dengan perubahan landskap ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
Katanya, negara perlu bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman di luar skop peperangan konvensional, termasuk risiko terhadap keselamatan siber dan kriptologi yang semakin penting dalam memastikan daya tahan negara.
“Kita juga perlu mengambil kira keselamatan sistem kewangan negara serta Bank Negara Malaysia. Perkara ini semakin penting kerana tindakan sabotaj dan serangan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Anwar menjelaskan, dasar baharu itu dirangka dengan mengambil kira perubahan landskap geopolitik dunia serta ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang semakin rumit.
“Dasar ini mengambil kira pandangan yang diketengahkan menerusi dasar terdahulu. Namun, saya percaya kekuatannya terletak pada keupayaan untuk menjangka serta menangani permasalahan dan cabaran baharu,” katanya.
Beliau turut menggesa agar perlindungan terhadap Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara dipertingkatkan, selain menekankan keperluan agensi kerajaan membangunkan kepakaran serta keupayaan teknikal bagi menangani ancaman yang terus berkembang. - Getaran, 26 November 2026






