PRN17 Sabah uji demokrasi era AI

LocalTechnology
1 Oct 2025 • 3:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bakal berlangsung ketika teknologi bukan sahaja mengubah landskap pekerjaan tetapi mencabar demokrasi.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Azizan H Morshidi dalam artikelnya From Deepfakes to Democracy: Sabah’s Digital Dawn for Unity and Prosperity menegaskan teknologi sama yang mengancam pekerjaan kerani turut berpotensi menentukan ketelusan pilihan raya.

“Sehingga 92 peratus jawatan kerani dan pentadbiran terdedah kepada automasi.

“Walaupun teknologi ini berisiko namun ia juga boleh dimanfaatkan bagi mengukuhkan penyertaan demokrasi jika digunakan secara bertanggungjawab,” tulisnya.

Menurut Azizan pentadbiran awam Sabah masih bergantung kepada proses manual dan banyak pejabat daerah menggunakan rekod berasaskan kertas serta liputan jalur lebar yang tidak konsisten di kawasan luar bandar melambatkan penerimaan digital.

Azizan menambah keadaan ini mewujudkan jurang digital yang semakin melebar antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Di bandar utama seperti Kota Kinabalu dan Sandakan, syarikat sudah menguji penggunaan chatbot AI.

“Bagaimanapun teknologi ini sering gagal apabila berdepan dialek tempatan seperti Kadazandusun atau Bajau.

“Tanpa pelaburan dalam model bahasa yang lebih terperinci serta pemantauan manusia ia boleh menimbulkan kekecewaan dan menghakis kepercayaan,” jelasnya.

Dalam pada itu Azizan berkata bahaya lebih besar datang daripada maklumat palsu berasaskan AI.

Beliau menyatakan video deepfake sudah muncul dalam aplikasi mesej menggambarkan seolah-olah projek infrastruktur di Sabah tidak berfungsi.

“Kandungan sebegini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati awam dan memesongkan persepsi pengundi.

“AI sepatutnya digunakan untuk memperkukuh kelebihan manusia - pertimbangan berasaskan konteks, empati dan pengetahuan budaya  bukan menggantikannya.

“Analitik ramalan boleh memperbaiki pengagihan air manakala pemprosesan bahasa semula jadi boleh menterjemah garis panduan pilihan raya ke dalam dialek Sabah dengan syarat ketepatan dijamin melalui pemantauan manusia,” katanya.

Beliau menambah pendidikan digital adalah keperluan mendesak jika belia Sabah mahu menjadi penjaga demokrasi sebenar bukan sekadar pengguna data pasif.

“Saya cadangkan bengkel praktikal untuk melatih komuniti mengenal pasti media yang dimanipulasi dan menggunakan alat pengesahan,” katanya.

Azizan turut mengingatkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga berisiko ketinggalan kerana ramai peniaga dan pengusaha tani masih bergantung pada transaksi tunai dan buku kira-kira manual.