
Professional Game Referees (Pro Ref) mengakui keputusan membenarkan gol kemenangan Erling Haaland ketika Manchester City menewaskan Manchester United sebagai satu ‘kesilapan pertimbangan’, lapor AFP.
City yang beraksi dengan 10 pemain selepas Phil Foden dilayangkan kad merah kerana menendang Bruno Fernandes, menang di Old Traford menerusi jaringa tunggal Haaland pada minit ke-60.
Gol tersebut pada awalnya dibatalkan kerana Haaland berada dalam kedudukan ofsaid, namun VAR kemudiannya menukar keputusan berkenaan meskipun pemain tengah City, Enzo Fernandez, berada dalam kedudukan ofsaid dan cuba mendapatkan bola sebelum Haaland.
Fernandez bagaimanapun tidak berjaya menyentuh bola yang kemudian menjadi alasan gol itu diberikan, sekali gus membolehkan Haaland meraikan gol kesembilannya dalam aksi derbi Manchester di saingan liga.
Premier League Match Centre menerusi media sosial selepas jaringan itu memaklumkan bahawa VAR mendapati Haaland berada dalam kedudukan onside, selain menganggap Fernandez tidak memainkan bola meskipun berada dalam kedudukan ofsaid.
Pro Ref akui 'kesilapan' VAR
Bagaimanapun AFP melaporkan Pro Ref pada Ahad memaklumkan bahawa VAR “tidak mengenal pasti kemungkinan impak” pemain tengah Argentina dan “sepatutnya mencadakangkan semakan monitor di tepi padang (OFR)”.
“Pihak kami telah menghubungi Manchester United untuk memaklumkan bahawa kami menganggap keputusan itu sebagai satu kesilapan pertimbangan. Semakan terhadap insiden itu akan dijalankan,” menurut kenyataan berkenaan.
Selepas perlawanan, pengurus United, Michael Carrick, menyifatkan keputusan satu pasukan pegawai perlawanan (pengadil) untuk membenarkan gol Haaland sebagai ‘membimbangkan’.
Pertahanan United, Lisandro Martinez, pula menjadi pemain yang terlibat secara langsung dalam kontroversi berkenaan.
Pemain Argentina itu berkata kehadiran rakan sepasukan antarabangsanya, Fernandez, jelas mempengaruhi tindakannya sebelum menyifatkan gol City sebagai satu “ketidakadilan”.
“Saya pergi kepadanya kerana dia berada di hadapan saya. Sebab itu Haaland bebas di belakang.
“Lima atau enam pegawai melakukan kesilapan seperti ini dalam Liga Perdana adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Kami terpaksa pulang dengan ketidakadilan ini.”




