Siapa tidak suka apabila kita kehilangan barang, lagi-lagi fon telinga TWS yang kecil molek. Sekali hilang, sama ada terus rugi ada perlu tunggu lama untuk mendapatkan unit gantian. Bermula hari ini, produk audio Sony anda akan lebih mudah dijejak. Baru-baru ini, produk audio Sony telah dikemaskini dengan sokongan carian Google Find My Device.

Pada April lepas, Google mengembangkan Find My Device di Malaysia untuk menyokong penjejakan lebih banyak peranti yang menggunakan sistem seakan Apple Find My, di mana peranti Android pengguna lain menjadi nod carian. Anda boleh menghidupkan bunyi untuk mencari, menjejak dengan Google Maps, atau mengunci peranti dengan menjadikannya mod hilang.
Perkara menarik lain adalah sokongan Audio Switch, iaitu ciri multipoint untuk sambungan ke dua peranti serentak oleh Google. Ia berfungsi dengan pantas dan lancar seakan sambungan AirPods pada iPhone dipindahkan ke MacBook. Audio Switch menggunakan Bluetooth LE dan ia serasi dengan kebanyakan peranti Android moden.

Ketika artikel ini ditulis, ciri Find My Device telah pun tersedia pada WH-1000XM5 cuma ia baru diedarkan secara lebih meluas bersama-sama dengan Audio Switch melalui kemas kini perisian 2.3.1. Menurut sumber, WF-1000XM5 dan Sony LinkBuds S turut menerima kemas kini yang sama. Secara berperingkat tahun ini, semakin banyak gajet bukan telefon pintar mula menyokong Google Find My Device – adakah gajet anda sedia menyokongnya?

