sarah15/10/2026 - 14:36 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Produk inovasi BioKenaf hasil penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menjana nilai jualan melebihi RM50 juta serta mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, membuktikan potensi pengkomersialan hasil penyelidikan universiti dalam merancakkan ekonomi setempat.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kejayaan produk berasaskan kenaf itu menunjukkan bagaimana penyelidikan universiti mampu membuka peluang perniagaan baharu, meningkatkan pendapatan masyarakat dan memperkukuh pembangunan industri hiliran negara.
"Pengkomersialan BioKenaf telah mewujudkan lebih 50 peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta menjana nilai jualan melebihi RM50 juta.
"Pencapaian ini menunjukkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Industri Asas Tani 2026 (AGX’26) di UMK, Jeli, Kelantan.
BioKenaf merupakan hasil penyelidikan Dr. Maryana Mohamad Noor, yang juga Pengarah AGX’26, anjuran UMK.
Noraini berkata, pembangunan produk berasaskan kenaf turut menjadi antara tumpuan kerajaan dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara, khususnya melalui penyelidikan, penggunaan teknologi dan penghasilan produk bernilai tinggi selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030).

Menurutnya, usaha membangunkan Kenaf Innovation & Commercialization Hub juga penting bagi membantu lebih banyak hasil penyelidikan kenaf dikomersialkan, sekali gus menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan industri.
Selain pembangunan produk hiliran, beliau berkata, tanaman kenaf turut menawarkan potensi pendapatan kepada pengusaha dengan tempoh matang antara 120 hingga 150 hari serta anggaran pulangan RM3,000 hingga RM5,000 sehektar bagi setiap musim.
Bagi menggalakkan penyertaan pengusaha, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyediakan bimbingan teknikal dan bantuan menerusi Program Ladang Kluster, termasuk insentif sekali bayar sebanyak RM3,800 sehektar kepada pengusaha yang memenuhi syarat.
Noraini berkata, sokongan turut disediakan melalui Insentif Pemantapan Usahawan dan Produk Industri Kenaf bagi membantu pengusaha meningkatkan kualiti produk, memperkukuh pemasaran dan mengembangkan perniagaan.
Beliau menambah, kerjasama antara UMK dan LKTN penting bagi memastikan penyelidikan serta pembangunan produk disokong bekalan bahan mentah yang mencukupi, selain membantu pengusaha menangani cabaran penanaman, pemprosesan dan pemasaran kenaf.
Sementara itu, AGX’26 yang memasuki edisi kelapan sejak diperkenalkan sebagai Fiesta Tani pada 2013 terus menjadi platform menghubungkan mahasiswa, penyelidik, usahawan dan pemain industri bagi meneroka peluang pengkomersialan produk agrikomoditi.
Karnival bertemakan 'Memacu Malaysia Sebagai Hab Biokomoditi Madani' itu turut mendapat penyertaan rakan industri dan institusi dari Thailand, termasuk Yala Rajabhat University dan Princess of Naradhiwas University, sekali gus memperluas jaringan kerjasama penyelidikan serta peluang perniagaan di peringkat serantau. - DagangNews.com





