Jualan produk BioKenaf UMK cecah lebih RM50 juta

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 3:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jualan produk BioKenaf UMK cecah lebih RM50 juta

JELI – Pengkomersialan produk berasaskan kenaf hasil penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu BioKenaf mencatatkan nilai jualan melebihi RM50 juta selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu membuktikan penyelidikan universiti mampu membuka peluang ekonomi kepada masyarakat menerusi pembangunan produk berasaskan komoditi tempatan.

Katanya, kenaf bukan sahaja berpotensi digunakan untuk mendapatkan serat bagi keperluan industri, tetapi ia boleh dikembangkan menjadi pelbagai produk bernilai tambah menerusi penyelidikan dan inovasi.

“BioKenaf yang dihasilkan menerusi penyelidikan Dr. Maryana Mohamad Noor merupakan antara contoh kejayaan usaha membawa hasil penyelidikan ke pasaran.

“Pencapaian itu menunjukkan hasil penyelidikan universiti dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat. Proses membawa sesuatu produk ke pasaran memerlukan usaha berterusan, bermula daripada pembangunan produk dan kawalan mutu sehingga kepada pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani (AGX) 2026 di UMK Kampus Jeli di sini hari ini.

Noraini memberitahu, Pembangunan Hab Inovasi dan Pengkomersialan Kenaf penting bagi membantu lebih banyak hasil penyelidikan berkaitan kenaf dikomersialkan.

Menurutnya, potensi industri kenaf perlu disokong oleh amalan penanaman yang baik dan bekalan bahan mentah mencukupi bagi memastikan kelangsungan pembangunan industri berkenaan.

“Kerjasama UMK dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara penting kerana UMK mempunyai kepakaran dalam penyelidikan, manakala agensi kerajaan itu berperanan membimbing pengusaha dalam aspek penanaman dan pembangunan industri kenaf.

“Pengusaha perlu mengambil kira kesesuaian tanah, kos pengeluaran dan kemudahan pemprosesan selain memastikan pasaran tersedia supaya hasil tanaman dapat dijual pada harga yang memberikan pulangan berbaloi,” ujarnya.

Beliau berkata, kenaf mempunyai tempoh matang antara 120 hingga 150 hari dan pengusaha berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 sehektar bagi setiap musim. – KOSMO! ONLINE

The post Jualan produk BioKenaf UMK cecah lebih RM50 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved