Produk kesihatan, kosmetik RM1.27 juta dirampas

20 Nov 2026 • 6:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Produk kesihatan, kosmetik RM1.27 juta dirampas

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu dan merampas pelbagai produk kesihatan, kosmetik dan makanan bernilai RM1.27 juta dalam operasi di sebuah premis logistik di Banting, Selangor semalam.

Ops Taring Dosej pada pukul 12.10 tengah hari itu diketuai Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik syarikat dan dua lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja di premis berkenaan.

Pemeriksaan menemukan 1,044 kotak produk kesihatan dan kosmetik, 1,300 botol produk suplemen dan kesihatan, 38 kotak produk sup tremella tulen, 65 kotak produk koenzim Q10 serta pelbagai produk makanan dan minuman berasaskan teh serta makanan ringan.

“Kesemua barang rampasan diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.27 juta, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menyumbang nilai rampasan tertinggi sebanyak RM1.26 juta, diikuti Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat (RM5,167) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) (RM4,745).

Operasi itu turut disertai Bahagian Farmasi Negeri Selangor KKM, KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Klang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Dalam operasi sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM4,500, manakala MPKL mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM2,000.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan.

Mohd Zaki berkata polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang. – Bernama

The post Produk kesihatan, kosmetik RM1.27 juta dirampas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved