KUALA LUMPUR — Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) memandang serius peningkatan kes produk vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang di pasaran, sambil menegaskan isu ini tidak boleh disalah tafsir sebagai masalah keseluruhan industri vape.
Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, semua produk vape yang sah dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melalui ujian yang sewajarnya, termasuk penilaian makmal dan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan.
“Produk vape yang mendapat kelulusan KKM perlu memenuhi keperluan ketat dari segi keselamatan dan kualiti. Ini termasuk proses pengujian yang memastikan kandungan produk adalah mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa dilaporkan mengesan usaha sindiket pengedaran dadah memperkenalkan produk rokok elektronik atau vape mengandungi furanyl fentanyl ke pasaran tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, berkata ia dikenal pasti melalui Operasi bersepadu Op Vape 1.0 dari 13 hingga 17 April lalu di seluruh negara.
Hussien dilaporkan berkata, produk rokok elektronik yang mengandungi dadah termasuk furanyl fentanyl tidak dijual secara terbuka, sebaliknya menyasarkan pelanggan terpilih yang berada dalam kelompok tertentu.
Beliau menjelaskan, produk yang sah hanya dijual melalui saluran peruncitan berdaftar dan terkawal, berbeza dengan produk tidak sah yang biasanya diperoleh daripada pasaran gelap atau platform dalam talian yang tidak berlesen.
“Produk yang mematuhi peraturan dijual di premis berlesen dan dikendalikan oleh peniaga sah. Sebaliknya, produk yang mengandungi bahan terlarang lazimnya datang daripada saluran tidak sah yang beroperasi di luar rangka kawal selia,” katanya.
**media[3498939]**
Dalam pada itu, MRECA turut melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran kandungan palsu di media sosial yang didakwa mengelirukan orang ramai serta menjejaskan persepsi terhadap industri.
Menurut persatuan itu, kandungan sedemikian dilihat seolah-olah menggambarkan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, sedangkan penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Industri vape juga, katanya, terpalit dengan tuduhan tidak berasas kononnya peniaga menjual produk mengandungi dadah, walhal pengusaha sah telah berusaha mematuhi syarat ketat di bawah Akta 852 serta peraturan berkaitan.
Sehubungan itu, laporan polis dan aduan rasmi telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan individu yang terlibat dalam penyebaran berita palsu tersebut.
MRECA turut menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk menyamakan produk vape sah dengan produk yang telah disalah guna atau dicemari bahan terlarang.
“Kita tidak boleh pukul rata. Isu produk yang mengandungi dadah atau bahan terlarang bukan semata-mata isu vape, sebaliknya melibatkan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perdagangan haram,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan yang lebih tepat adalah dengan membezakan secara jelas antara pemain industri yang mematuhi peraturan dan pihak yang melanggar undang-undang.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat disasarkan dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan pemain industri yang patuh,” katanya.
Dalam masa sama, MRECA menegaskan semua produk vape yang diluluskan KKM telah melalui ujian klinikal serta penilaian menyeluruh, sekali gus membezakan produk sah daripada produk haram yang tidak melalui sebarang proses kawal selia.
“MRECA komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan industri ini kekal selamat, terkawal dan bertanggungjawab,” katanya.



