
KOTA KINABALU: Seorang pengusaha pusat kecantikan didenda RM15,000 atau dipenjara 30 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki produk farmaseutikal tidak berdaftar, dua tahun lalu.
Penny Prescila Aping, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Marlina Ibrahim kerana menyimpan 22 jenis produk tidak berdaftar termasuk pelbagai suntikan, ampul, vial dan krim di premisnya, FA Nayla Beauty Care di CPS Tower, Centre Point Sabah, pada 22 Feb 2023, jam 11.15 pagi.
Antara produk yang dirampas seperti dinyatakan dalam pertuduhan ialah vial lidocaine, krim J-Cain, suntikan Aminogen-X, produk pemutihan Glutax dan beberapa ampul mengandungi larutan tidak dikenal pasti.
Produk bernilai RM18,621 itu tidak berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Penny melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, satu kesalahan mengikut Seksyen 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia penanggung utama keluarga kerana suaminya menganggur dan menanggung dua anak.
Dia juga memaklumkan perniagaannya terjejas selepas produk berkenaan dirampas, menyatakan kekesalan serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.
Pegawai pendakwa dari Jabatan Farmasi, Muhammad Nurhalimi Ahmad Azmil, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kerana tiada produk dirampas itu telah dinilai oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dari segi kualiti, keberkesanan dan keselamatan.
“Penggunaan produk tidak berdaftar boleh mendatangkan risiko kesihatan dan kesan sampingan kepada pengguna,” katanya, menambah terdapat laporan individu tidak bertauliah menjalankan rawatan estetik dan pergigian sehingga menyebabkan komplikasi, kecacatan malah kematian.
Mahkamah turut memerintahkan semua produk yang dirampas dilucut hak untuk dilupuskan mengikut Seksyen 13 Akta Jualan Dadah 1952.



