
Kota Kinabalu: Seorang profesor universiti dibebaskan dan dilepaskan daripada 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM66,190 membabitkan dana penyelidikan berkaitan hidupan marin Sabah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga memutuskan bahawa Profesor Dr Charles Santhanaraju Vairappan, 59, dari Fakulti Kimia Produk Semula Jadi, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak perlu dipanggil membela diri.
Jason membuat keputusan itu selepas selesai kes pendakwaan.
Dr Charles didakwa mengemukakan dokumen tuntutan perbelanjaan berupa resit rasmi yang mengandungi butiran palsu kepada pegawai di Jabatan Bendahari UMS antara Mei 2014 dan April 2017.
Menurut pertuduhan, resit berkenaan adalah bagi pembayaran aktiviti menyelam, sewaan bot ke beberapa pulau di Sabah serta sewaan van namun kesemua aktiviti tersebut sebenarnya tidak dijalankan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda jumlah nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil 26 saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.
Dalam membuat keputusan berkenaan mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen bagi pertuduhan terbabit.
“Dalam menilai keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah sepanjang kes pendakwaan, berdasarkan fakta yang ada saya mendapati terdapat keraguan terhadap keterangan yang dikemukakan sehingga menyebabkan pertuduhan bahawa tertuduh mengemukakan dokumen yang mempunyai alasan untuk dipercayai mengandungi butiran material palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan tidak terbukti.
“Oleh itu saya mendapati terdapat keraguan dalam keterangan dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua 21 pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” kata mahkamah.
Mahkamah kemudian memerintahkan Dr Charles yang berasal dari Pulau Pinang dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua 21 pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan dan pasport Dr Charles dipulangkan.
Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip mengendalikan pendakwaan manakala peguam Zahir Shah dan Baldev Singh mewakili Dr Charles.

