‘Professor X’ meninggal dunia akibat Alzheimer dan nyanyuk

Movie
30 Oct 2026 • 10:08 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Professor X’ meninggal dunia akibat Alzheimer dan nyanyuk

Image from: ‘Professor X’ meninggal dunia akibat Alzheimer dan nyanyuk

BINTANG legenda Britain, Sir Patrick Stewart yang mencipta nama di Hollywood menerusi francais filem Star Trek dan X-Men meninggal dunia pada usia 86 tahun semalam.

Berita pemergian pelakon yang terkenal dengan watak Kapten Jean-Luc Picard dan Profesor Charles Xavier itu disahkan menerusi kenyataan rasmi di akaun X miliknya.

Stewart menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selepas berdepan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia.

Menurut kenyataan tersebut, beliau pergi dengan tenang di bawah jagaan penuh isterinya, Sunny Ozell selepas melalui perjuangan melawan kedua-dua penyakit berkenaan.

“Kami dengan penuh dukacita mengumumkan pemergian Sir Patrick Stewart semalam di kediamannya di Los Angeles, dalam jagaan penuh kasih isterinya, Sunny, selepas melalui perjalanan singkat tetapi bermakna melawan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia,” tulis kenyataan itu.

Dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, Yorkshire, England, Stewart memulakan kerjaya lakonan ketika berusia 18 tahun sebelum mengukuhkan namanya sebagai pelakon teater menerusi Royal Shakespeare Company sejak era 1960-an.

Bagaimanapun, namanya mula menjadi fenomena global apabila dipilih membawakan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek: The Next Generation pada 1987 ketika berusia 47 tahun.

Siri yang bertahan selama tujuh musim sehingga 1994 itu menjadi titik tolak dalam kerjayanya, sekali gus menjadikan Stewart antara wajah paling dikenali dalam dunia fiksyen sains.

Watak Picard juga meninggalkan impak mendalam di kalangan peminat menerusi dialog ikonik seperti ‘Make it so’ dan ‘Engage’ yang terus diingati sehingga kini.

Menariknya, Stewart pada awalnya keberatan menerima tawaran selepas rakannya, pelakon terkenal Sir Ian McKellen, menasihatkannya agar terus memberikan tumpuan kepada dunia teater Shakespeare.

Namun, keputusan mengambil peranan berkenaan nyata mengubah perjalanan seninya apabila beliau membintangi 176 episod sepanjang tujuh musim siri itu sebelum kembali menghidupkan karakter Picard dalam beberapa filem Star Trek.

Beliau turut mengulangi watak tersebut menerusi siri penstriman Star Trek: Picard yang mula ditayangkan pada 2020 ketika berusia 79 tahun.

Atas sumbangannya kepada seni persembahan, pada 2010 Stewart dianugerahkan gelaran kesatria daripada Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham.

Beliau pernah berkata pengurniaan gelaran tersebut sebagai antara pencapaian profesional paling bermakna sepanjang hidupnya.

Mengenai kehidupan berkeluarga pula, Stewart pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum berkahwin dengan Ozell pada 2013.

Biarpun sudah tiada, legasi ditinggalkan terutama menerusi karakter Picard dan Profesor X terus meletakkannya dalam ingatan ramai. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Professor X’ meninggal dunia akibat Alzheimer dan nyanyuk appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved