Program Buka Puasa Penjara Sandakan Berimpak Tinggi Libat Komuniti, Banduan

28 Mar 2024 • 7:53 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wakil banduan (kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM 1425.00 sebagai bayaran zakat fitrah daripada banduan kepada Pusat Zakat Sabah cawangan Sandakan yang diwakili Mohd Khadeem Salleh (kiri) pada majlis berbuka puasa peringkat penghuni penjara Sandakan. – gambar BERNAMA

SANDAKAN - Program berbuka puasa melibatkan komuniti termasuk ahli masjid dan sukarelawan bersama prospek atau banduan di Institusi Penjara Sandakan di sini, semalam, boleh diperluaskan ke institusi penjara lain di Sabah.

Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Abd Rauf Lang Pasih, berkata selain berimpak tinggi dan merapatkan ukhuwah, inisiatif itu turut menampilkan kelainan kerana pada kebiasaannya program yang diadakan berbentuk pemulihan dalam komuniti, tetapi program semalam menerap konteks komuniti menyumbang kepada penjara iaitu pemulihan dalam fasiliti penjara. 

"Hari ini saya nampak penjara Sandakan telah melakukan itu, jarang berlaku, jadi saya harap dengan penganjuran sebegini rupa, maknanya memasyarakatkan penjara itu, penghuni itu satu anjakan baharu, yang positif.

"Juga selari dengan aspirasi Jabatan Penjara Malaysia yang disebutkan penjara ini merupakan tempat pembangunan budaya kemanusiaan itu sendiri, meskipun penganjuran yang berbeza kaedahnya," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa peringkat prospek Institusi Penjara Sandakan di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, program berbuka puasa adalah satu daripada program tahunan di bawah program pemulihan insan yang dilaksanakan di seluruh institusi penjara di negara ini, bertujuan mewujudkan semangat kekeluargaan antara penghuni serta kakitangan penjara yang bertugas.

Pada majlis itu penghuni penjara Sandakan turut membuat bayaran zakat bernilai RM1,425 kepada Pusat Zakat Sabah Majlis Ugama Islam Sabah. – BERNAMA