Program C2C With PTPTN Bantu Lahir Graduan Berdaya Saing 

LocalPolitics
22 Oct 2024 • 9:55 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

Program C2C With PTPTN Bantu Lahir Graduan Berdaya Saing

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membantu meningkatkan akademik dan kebajikan para pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

2. Program Campus to Career atau dikenali sebagai Program C2C With PTPTN ialah lanjutan daripada Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya yang telah diadakan oleh PTPTN sejak tahun 2022. Pada tahun 2024, program ini telah ditambahbaik dengan pengisian yang lebih komprehensif dan memberi manfaat kepada para pelajar. Program ini juga merupakan antara komitmen PTPTN dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyumbang kepada kebolehpasaran graduan ke arah menyediakan graduan yang berkualiti sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

3. Pada Isnin lalu, Program C2C With PTPTN telah diadakan bertempat di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, Pahang. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir, YBrs. Professor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMPSA, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Professor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin, Dekan Fakulti Komputeran UMPSA dan YBrs. Puan Hajah Wan Zuraida Wan Yusoff, Timbalan Pengarah Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS).

image is not available

4. Terdahulu program ini telah berjaya dilaksanakan pada 25 Jun 2024 bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah. Program yang dilaksanakan selama satu (1) hari ini, memberikan fokus utama kepada pelajar tentang ilmu pengurusan kewangan dan membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam kerjaya serta peluang-peluang pasaran selepas tamat pengajian. Selain itu, program ini turut menyediakan pelbagai pengisian menarik oleh penceramah dan pakar motivasi berpengalaman dengan menyasarkan penyertaan 300 orang pelajar termasuk daripada kalangan peminjam PTPTN.

5. Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, “Program C2C ini adalah salah satu usaha dalam membantu pelajar membina asas yang kukuh untuk masa depan mereka. Untuk merealisasikan tujuan tersebut, PTPTN telah berkolaborasi dengan institusi pendidikan dan sektor industri dengan menganjurkan program-program pemerkasaan termasuk bengkel, seminar dan program latihan yang membantu pelajar mempersiapkan diri untuk memasuki dunia pekerjaan. Melalui pendekatan ini, PTPTN berharap ia bukan hanya mampu memperkasa pelajar dengan pembiayaan, tetapi juga dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.”

6. “Program C2C With PTPTN ini juga memberi pendedahan berkenaan kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan dengan keperluan semasa. Pelajar perlu diberikan kesedaran awal bahawa mengutamakan penabungan merupakan salah satu cara terbaik dalam mengurus kewangan dan membuat pilihan bijak dengan memilih produk simpanan yang menawarkan pelbagai manfaat serta pulangan yang berbaloi. Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN merupakan antara pilihan bagi instrumen simpanan terbaik untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” tambah beliau lagi.

image is not available

7. Pada program yang sama, PTPTN melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah menyalurkan bantuan kepada 105 orang pelajar yang layak di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan peruntukan berjumlah RM52,500.00 dan 24 orang pelajar yang layak di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dengan peruntukan berjumlah RM12,000.00. Setiap pelajar yang layak menerima bantuan berjumlah RM500.00 secara one off dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.