
ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh kesejahteraan komuniti serta hubungan awam-tentera dengan penganjuran Program Jiwa Murni MADANI (PJM) Daerah Alor Gajah yang menyaksikan peruntukan berjumlah RM312,200 disalurkan untuk manfaat masyarakat setempat.
Program yang berlangsung di Padang Awam Kampung Gadek, di sini itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari sebagai sebahagian usaha MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendekati rakyat menerusi aktiviti kemasyarakatan serta khidmat komuniti.
Menurut Adly, pelaksanaan PJM berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MINDEF dalam memastikan ATM bukan sahaja berperanan dalam aspek pertahanan negara, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif.
“Program Jiwa Murni MADANI ini adalah untuk kita rapatkan kerjasama antara Kementerian Pertahanan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia dengan masyarakat.
“Pada masa sama, kita manfaatkan kepakaran anggota pertahanan kita dalam bidang kejuruteraan bagi melaksanakan projek pembangunan serta pembaikan infrastruktur yang memberi manfaat terus kepada komuniti,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, program itu turut menyediakan pelbagai pengisian kepada orang ramai termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kerjaya dan kesukarelawanan, keusahawanan, Jualan Rahmah, pertandingan sukan serta kaunter bergerak perkhidmatan kerajaan.
Ujarnya, dalam pelaksanaan PJM kali ini, sebanyak lima projek komuniti bernilai RM179,200 telah dilaksanakan oleh 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 Skn RAJD), Tentera Darat Malaysia (TDM) di sekitar Alor Gajah.
Projek berkenaan melibatkan kerja-kerja sivil termasuk baik pulih taman permainan Dewan Serbaguna Kampung Baru, Pondok Batang; pagar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Durian Tunggal; serta gelanggang futsal Taman Seri Kelemak, Rembia.
Turut dilaksanakan ialah kerja baik pulih bumbung Madrasah Seri Kemuning, Kampung Kemuning serta Surau Madrasah Khairiah, Kampung Paya Datuk Hilir.
Mengulas lanjut, Adly berkata, projek komuniti yang dilaksanakan menerusi PJM berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk di kawasan Parlimen Alor Gajah.
“Kalau kita lihat daripada projek-projek komuniti yang kita buat itu, hampir 500 anggota masyarakat akan mendapat manfaat, dan secara keseluruhannya dianggarkan sekitar 2,000 hingga 3,000 penduduk akan menerima manfaat daripada projek yang dilaksanakan.
“Untuk program hari ini sahaja, kita menerima kehadiran lebih daripada 1,200 pengunjung yang menunjukkan sambutan baik daripada masyarakat terhadap inisiatif yang kita jalankan,” katanya.
Pada program tersebut, Adly turut menyampaikan cek cura Inisiatif Pusat Khidmat berjumlah RM133,000 kepada lapan penerima manfaat bagi menyokong pembangunan dan keperluan komuniti setempat.
Antara penerima terbabit ialah lembaga surau, persatuan rumah berhala serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (T) Batang Melaka bagi pembangunan GreenLab sekolah.
Dalam majlis sama, sebanyak 500 Bakul Rahmah turut disampaikan untuk diagihkan kepada persatuan veteran ATM dan penduduk setempat sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
Terdahulu, Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) turut menganjurkan Program Ilmu dan Muafakat MADANI (PIKAT) pada 14 Ogos lalu di Masjid Kampung Kelemak, Alor Gajah.
Program tersebut diisi dengan solat maghrib dan isyak berjemaah, ceramah perdana, sumbangan kebajikan serta sesi menyantuni warga dan kariah masjid.
Adly berkata, penganjuran PJM dan PIKAT secara berterusan membuktikan pendekatan menyeluruh MINDEF dalam memperkukuh keterhubungan ATM bersama masyarakat menerusi elemen kesejahteraan, kerohanian dan penglibatan komuniti.
Katanya, usaha berkenaan turut selari dengan konsep kerjasama awam dan tentera (Cimic) di bawah Teras 4 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dalam mempererat hubungan erat antara ATM dan rakyat.
The post Program Jiwa Murni Madani perkasa komuniti Alor Gajah appeared first on Kosmo Digital.






