OLEH AIDA NYAN
SUBANG JAYA, 22 DIS: Seramai 192 pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program Kembali ke Sekolah 2025.
Penyelarasnya Halimey Abu Bakar berkata agihan RM100 setiap seorang sumbangan Kerajaan Negeri bertujuan meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan akan datang.

“Kita khususkan bantuan ini kepada anak-anak sekolah kebangsaan dan penerima meliputi satu keluarga seorang pelajar,” katanya kepada Media Selangor.
Majlis penyerahan berlangsung di Pasaraya Mydin Subang Jaya, semalam, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM1.7 juta bagi membantu seramai 16,800 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di 56 DUN, untuk membeli kelengkapan sekolah.
Selain itu, Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) oleh Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) turut menyediakan set beg sekolah dan alat tulis kepada ahlinya yang memasuki tahun 1 pada 2024.
The post Program Kembali ke Sekolah manfaatkan 192 pelajar sekitar DUN Taman Medan appeared first on Selangorkini.



