
GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli bersyukur apabila urusan penggantian MyKad baharu anaknya yang terlantar dapat diselesaikan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pos Belatim, di sini, hari ini.
Lela Rosli, 37, berkata, urusan itu bermakna buat dirinya kerana sebelum ini dia berdepan kesukaran membawa anak sulungnya, Hadi Ifri Abdullah, 15, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang terlantar ke Pejabat JPN di bandar Gua Musang.
Katanya, Hadi perlu didukung setiap kali dibawa keluar rumah dan perjalanan dari Kampung Chachuh, Pos Belatim ke bandar Gua Musang memerlukan kenderaan pacuan empat roda selain kos perjalanan yang tinggi.
“Saya sangat lega kerana akhirnya dapat tukar MyKad baharu Hadi tanpa perlu membawanya jauh ke bandar Gua Musang.
“Kalau hendak keluar memang sangat susah kerana dia perlu didukung dan kami pula perlu menyewa pacuan empat roda untuk meredah jalan tanah. Jadi, apabila dimaklumkan JPN datang ke Pos Belatim, saya terus ambil peluang ini kerana lebih mudah dan Hadi juga lebih selesa,” katanya ketika ditemui pada Program Mekar JPN di Pos Belatim, di sini, hari ini.
Lela memberitahu, Hadi mengalami masalah kesihatan sejak bayi sehingga memerlukan penjagaan sepenuhnya termasuk untuk mandi, makan serta menukar lampin.
Katanya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan sedikit sebanyak membantu menampung keperluan anaknya terutama pembelian lampin pakai buang dan susu. – KOSMO! ONLINE
The post Program Mekar mudahkan Orang Asli tukar MyKad anak OKU terlantar appeared first on Kosmo Online.



