JPN Putrajaya jadi tumpuan orang ramai tukar MyKad generasi baharu

17 Sep 2026 • 2:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JPN Putrajaya jadi tumpuan orang ramai tukar MyKad generasi baharu

PUTRAJAYA: Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini menjadi tumpuan orang awam bagi urusan penukaran kad pengenalan (MyKad) generasi baharu hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia pada hari pertama pelaksanaan permohonan versi baharu MyKad itu mendapati rata-rata orang awam hadir ke Bahagian Kad Pengenalan di Aras 2 seawal pukul 8 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Ibu kepada lima anak, Shaza Nuizeaan Shafie, 48, berkata, urusan menukar kad pengenalan membabitkan dua anak perempuannya berjalan dengan sangat lancar selepas membuat janji temu menerusi imbasan kod QR.

Menurutnya, dia membawa dua orang anak iaitu Nur Ataa Iqra Abdul Wahab, 21, untuk proses penukaran kad pengenalan baharu manakala, Nur Amnaa Irbah Abdul Wahab, 12, bagi permohonan kad pengenalan kali pertama.

“Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan walaupun melihat jumlah orang awam agak ramai, namun proses tetap berjalan lancar.

“Saya menyambut baik penggunaan MyKad generasi baharu ini kerana ciri-ciri kemudahan yang mengintegrasikan pelbagai manfaat dalam satu akses dan ia memang memudahkan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di JPN Putrajaya hari ini.

JPN hari ini mula mengeluarkan MyKad versi baharu yang dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri sebelum ini.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka, Puteri Nur Syafiqah Jailani, 19, berkata, proses permohonan bermula dengan membuat janji temu secara dalam talian.

Dia kemudian hadir untuk mengambil gambar dan membuat bayaran seterusnya mendapatkan MyKad generasi baharu yang hanya mengambil masa kurang 40 minit.

“Prosesnya senang, buat temu janji dahulu dekat online, ambil gambar, bayar dan datang sini untuk dapatkan kad, itu sahaja,” katanya.

Dia turut menyifatkan ciri keselamatan baharu pada MyKad sebagai menarik, terutamanya kewujudan kod QR tersendiri dan corak khas yang hanya kelihatan di bawah cahaya ultraungu (UV).

“Yang paling gempak sebab ada kod QR sendiri. Sebab orang tak boleh nak buat ‘duplicate’ kad tu,” katanya.

Menurut Foo Yew Jin, 36, dari Petaling Jaya pula, MyKad generasi baharu dilihat lebih kukuh dan menarik.

“Berdasarkan apa yang saya tahu, IC ini lebih kuat dan akan mempunyai lebih banyak fungsi pada masa depan. Cuma kekurangannya, Touch ’n Go sudah tiada,” ujarnya.-UTUSAN

The post JPN Putrajaya jadi tumpuan orang ramai tukar MyKad generasi baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved