Program MRO pesawat FA-50M TUDM tarik minat syarikat tempatan, buka peluang kerjasama antarabangsa

02/05/2025 - 10:35
Oleh Zaki Salleh
KUALA LUMPUR 2 Mei - Pembelian pesawat tempur ringan FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuka peluang penyertaan banyak syarikat tempatan sekali gus meneroka kerjasama ekonomi.
Ini berikutan beberapa syarikat berminat menyediakan kemudahan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) itu.
Memetik laporan laman web pertahanan Defence Security Asia (DSA), syarikat-syarikat tersebut ingin menawarkan perkhidmatan MRO yang dimiliki kepada Kementerian Pertahanan (Mindef).
Sumber industri yang memberitahu DSA memaklumkan, keputusan berkenaan bagaimana pun bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dan TUDM.

Antara syarikat tersebut ialah Kemalak Systems yang merupakan rakan tempatan kepada pengeluar pesawat ini, Korea Aerospace Industries (KAI).
Perkhidmatan MRO merupakan elemen penting bagi menyokong penggunaan pesawat FA-50M nanti kerana ia bakal menentukan kesiapsiagaan aset-aset tersebut.
Ini bagi memastikan pesawat dapat dioperasikan pada tahap terbaik.
Difahamkan, syarikat yang mendapat kontrak MRO nanti perlu bekerjasama rapat dengan syarikat pembuat peralatan pertahanan itu dan pengilang peralatan asal (OEM) komponen lain.


Sebahagian daripada 18 buah pesawat FA-50M (Block 20) ini akan diterima TUDM pada Oktober tahun depan secara berperingkat-peringkat.
Pembinaan pesawat-pesawat FA-50M TUDM di Korea Selatan dikatakan telah mencapai tahap 50% menandakan komitmen tinggi KAI.
Mengikut perancangan TUDM berhasrat mendapatkan 36 buah pesawat FA-50M.
Sejak awal-awal lagi, pihak KAI telah menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat aeroangkasa tempatan dalam menyokong perolehan FA-50M.

Terdapat beberapa bidang sokongan teknikal yang akan disediakan dan satu daripadanya ialah keupayaan penyelenggaraan.
Pemilihan syarikat MRO tempatan yang berdaya saing penting supaya ia dapat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang ditetapkan
Ia juga tidak semestinya membabitkan hanya satu syarikat tetapi boleh melibatkan lebih banyak syarikat termasuk vendor-vendor yang menawarkan skop kerja berbeza.
Ini kerana sesebuah pesawat tempur mempunyai pelbagai bahagian dan ribuan komponen untuk diselenggara.

Pada masa sama, Malaysia juga dikenali sebagai antara negara yang mempunyai hab MRO terbaik di Asia Tenggara melibatkan pesawat helikopter, pengangkut dan juga pesawat tempur.
Justeru, penubuhan MRO tempatan bagi pesawat FA-50M nanti bakal menambahkan lagi cabang kepakaran tenaga kerja negara dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. - DagangNews.com
standard

