Tarif Trump dijangka tidak halang niat TUDM dapatkan Hornet terpakai Kuwait

22/04/2025 - 09:58
Perolehan pesawat Hornet terpakai Kuwait dapat melonjakkan keupayaan tempur TUDM. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh
Malaysia dipercayai masih berminat mendapatkan pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai milik Kuwait untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disebalik isu kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Ini kerana kenaikan tarif 24% hanya dikenakan ke atas barangan import dari Malaysia sahaja ke negara tersebut dan bukan sebaliknya.
Sehubungan itu, sebarang pembelian kelengkapan pertahanan dari AS mungkin tidak terjejas secara langsung disebabkan tarif ini
Tambahan pula pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai tersebut adalah milik Kuwait, cuma kebenaran untuk memiliki masih perlu diperolehi daripada negara pengeluar iaitu AS.

Cuma apa yang menarik perhatian ialah kebimbangan terhadap iklim politik dan hubungan perdagangan yang menjadi pertimbangan dalam kelulusan perolehan.
Sekiranya hubungan Malaysia dengan AS menjadi kurang elok disebabkan kenaikan tarif yang dikenakan, tidak mustahil cadangan mendapatkan pesawat Hornet ini terpaksa dipertimbangkan.
Melainkan jika AS sendiri yang melambatkan kelulusan atau mengetatkan proses untuk negara Kuwait menjual aset strategik tersebut.
Bagaimana pun, berdasarkan situasi semasa ketika ini belum nampak tanda jelas tindakan Malaysia terhadap perolehan pertahanan dari AS.
Ini kerana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai sejumlah kelengkapan dan aset termasuk komponen yang diimport dari negara itu.


Pada masa sama hubungan pertahanan antara kedua-dua negara masih utuh, malah AS mempunyai kerjasama yang baik termasuk melaksanakan latihan bersama dan pertukaran kepakaran.
Begitu juga kerjasama dan sokongan yang diterima daripada industri pertahanan AS, misalnya dalam program naik taraf pesawat F/A-18D Hornet TUDM dan selenggaraan helikopter MD-530G.
Mengenai isu tarif yang dikenakan AS, tidak mustahil juga Washington akan cuba memudahkan usaha Malaysia mendapatkan kelulusan Hornet terpakai Kuwait ini atas dasar hubungan strategik.
Semestinya Washington tidak mahu kehilangan pengaruh di sini, tambahan pula dengan status Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.

Justeru, langkah memudahkan kelulusan pembelian Hornet terpakai di sebalik kemelut kenaikkan tarif boleh melegakan Malaysia.
Jika andaian ini benar, maka proses mendapatkan sekurang-kurangnya 30 buah pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai milik Kuwait bakal merubah keupayaan TUDM.
Kesannya, TUDM memperoleh peningkatan segera dalam keupayaan tempur udara dengan menggandakan jumlah aset sedia ada.
Dengan penambahan 30 pesawat ini diandaikan TUDM dapat mengoperasikan 2 buah skuadron Hornet manakala sebahagian daripada Hornet terpakai tersebut dijadikan alat ganti.
Pembelian ini dapat menjimatkan kos berbanding membeli pesawat baharu sesuai dengan objektif TUDM menjadikan pesawat terpakai itu sebagai langkah sementara.


Perolehan ini bagi mengisi kekosongan kemampuan tempur TUDM sehingga program pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) dilaksanakan menjelang tahun 2040.
Minat Malaysia pada Hornet terpakai Kuwait ini juga berdasarkan prestasi baik pesawat sama yang dioperasikan TUDM sejak 20 tahun lalu.
Kelulusan yang diberi Washington pula akan mengeratkan lagi hubungan pertahanan Malaysia–AS.
Sebelum ini difahamkan proses Malaysia untuk mendapatkan pesawat Hornet terpakai Kuwait berada pada peringkat akhir dan tertakluk kepada kelulusan rasmi daripada AS selaku negara pengeluar pesawat tersebut.
Perbincangan telah berlangsung secara aktif sejak 2 tahun lalu termasuk lawatan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin ke Kuwait pada Oktober 2024.

Satu jawatankuasa bersama antara Kementerian Pertahanan (Mindef), TUDM dan Tentera Udara Kuwait juga telah ditubuhkan untuk memantau proses ini.
Difahamkan, semua dokumentasi yang diperlukan telah disiapkan.
Sebagai negara pengeluar, AS perlu memberikan kelulusan eksport untuk pemindahan pesawat ini kepada Malaysia.
Proses ini boleh mengambil masa dan bergantung kepada dasar luar serta pertimbangan strategik Washington. - DagangNews.com
featured standard


