Program Oksigen untuk Rakyat dilancar

23 Mar 2023 • 4:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KERAJAAN Negeri melancarkan Program Oksigen (O²) untuk Rakyat #SharingIsCaring yang akan memberikan bantuan peralatan perubatan kepada golongan kurang berkemampuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Sabah Energy Corporation (SEC).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedar tidak semua pesakit mampu membeli penumpu dan tangki oksigen kerana harganya yang tinggi.

“Bekalan peralatan sedia ada di hospital juga tidak mencukupi dan pesakit terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan. Selain itu, masih ramai individu di luar sana yang tidak dapat berbuat demikian dan sangat memerlukan perkhidmatan tersebut kerana tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan.

“Sebab itu, program ini diperkenalkan.

“Usaha ini tercetus atas keprihatinan Kerajaan Negeri melalui YKS dan SEC, bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini yang memerlukan bantuan peralatan oksigen,” katanya ketika melancarkan program itu di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

Menerusi program itu, penumpu dan tangki oksigen akan ditempatkan di hospital kerajaan secara pinjaman di bawah kawal selia Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Hajiji menggesa pemimpin masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh negeri membantu menyebarkan maklumat mengenai perkhidmatan di bawah program itu kepada mereka yang memerlukan, yang akan diberikan kepada semua rakyat memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Beliau berkata sepanjang 2022 hingga Januari tahun ini, JKNS merekodkan 74 pesakit yang memerlukan bantuan mesin oksigen, manakala 11 pesakit memerlukan bantuan tangki oksigen.

Menurutnya, daripada 74 kes itu, 36 pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu, 15 di Zon Sandakan, 14 di Zon Tawau, tujuh di Zon Keningau dan dua di Zon Beaufort. Bagi bantuan 11 tangki oksigen, enam pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu dan lima di Zon Sandakan.

Hajiji berkata pelaksanaan program itu juga bertepatan dengan konsep Malaysia Madani, dan YKS ialah platform Kerajaan Negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang memerlukan perhatian secara khusus.

“Cabaran utama kepada usaha negara memaksimumkan kesejahteraan rakyat ialah kekurangan fasiliti dan kekangan peruntukan untuk menampung keperluan rakyat di negeri ini,” katanya.

“Dalam konteks ini, aspek ‘kesejahteraan’ dan ‘kesihatan’ rakyat telah digunakan sebagai dimensi untuk mengukur kadar kemiskinan bagi melihat tahap pencapaian negara ke arah mewujudkan negara bertamadun yang menjadi idaman kita semua, insha-Allah.

“Di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), aspek kesejahteraan rakyat juga telah diberi penekanan yang besar. Penubuhan YKS adalah untuk Kerajaan Negeri membantu dan mendekati rakyat Sabah yang memerlukan bantuan dan perhatian secara khusus,” tegasnya.

Hajiji, yang juga Pengerusi YKS, menggesa semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat, supaya terus menyokong YKS dalam membantu golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub, Pengarah JKNS Datuk Rose Nani Mudin, Ketua Pegawai Eksekutif SEC Adzmir Abdul Rahman, dan Pengarah YKS Hajah Rugayah Ag Besar.

Annuar, dalam ucapannya, berkata SEC sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap nasib fakir dan golongan miskin di negeri ini, termasuk anak yatim, OKU, ibu tunggal dan sebagainya.

Beliau berkata SEC telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk menganjurkan program pengagihan bakul makanan, Program Kembali ke Sekolah, bantuan kewangan dan lain-lain yang ditujukan kepada kumpulan sasar.

“Melalui program CSR sebegini, SEC berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu Kerajaan Negeri dalam usaha menangani isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Program Oksigen untuk Rakyat ini bertujuan membantu pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan bekalan oksigen.

“Inilah masanya kita cuba mendekati kumpulan pesakit ini dan meringankan beban mereka dengan menyediakan perkhidmatan peralatan oksigen ini.

“Bagi memastikan proses peminjaman peralatan bantuan oksigen ini berjalan lancar, YKS dan SEC akan bekerjasama dengan JKNS. Semoga dengan kerjasama baik ini, program ini akan berjaya. InshaAllah.

“Saya berharap dan percaya dengan pelaksanaan program ini, ia akan dapat digunakan dengan sebaiknya untuk kita membantu meringankan beban rakyat Sabah yang miskin, yang tinggal jauh dari kemudahan hospital. perkhidmatan sebegini, mereka boleh merawat diri di rumah tanpa perlu ke hospital,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.