Program Sekolah Angkat Madani wajar diperluas

26 Jul 2026 • 11:07 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Program Sekolah Angkat Madani wajar diperluas

LAHAD DATU: Program Sekolah Angkat Madani yang dilaksanakan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) wajar diperluaskan supaya lebih banyak sekolah menerima manfaat, termasuk bantuan menaik taraf prasarana dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan.

Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif itu yang turut mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Saya difahamkan Program Sekolah Angkat ini juga boleh dilaksanakan oleh kementerian lain. Saya berharap program ini dapat diperluaskan supaya lebih banyak sekolah menerima manfaat seperti peruntukan bagi prasarana dan pelaksanaan pelbagai program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat Madani Esscom dan Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan Stem (Kerinov) Peringkat Negeri Sabah di SMK Sepagaya, di sini, Sabtu. Terdahulu, dalam ucapannya, Jordan berharap Program Sekolah Angkat Madani Esscom menjadi model kerjasama strategik yang mampu melahirkan generasi berilmu, berintegriti, berdaya saing dan cintakan keamanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata pelaksanaan Program Sekolah Angkat Madani Esscom mencerminkan keyakinan agensi itu bahawa keselamatan negara bukan sahaja bergantung kepada aspek penguatkuasaan dan kawalan sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), malah perlu diperkukuh melalui pembentukan generasi berilmu, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh.

“Keamanan yang berkekalan bukan hanya dibina melalui aset keselamatan yang moden, tetapi melalui masyarakat yang berilmu, berintegriti, mempunyai jati diri yang kental serta menghargai keamanan yang dinikmati,” katanya.

Menurut beliau, melalui program itu, Esscom akan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama pihak sekolah, meliputi pembangunan kepimpinan murid, pendidikan, keselamatan, kesedaran kenegaraan, kesiapsiagaan menghadapi cabaran, program kesukarelawanan, inovasi sosial serta pemerkasaan sahsiah.

Jamaluddin berkata bagi 2026, Esscom menerima peruntukan RM100,000 untuk melaksanakan dua projek di SMK Sepagaya, iaitu penyelenggaraan gelanggang serbaguna sekolah dan Dewan Terbuka Abdullah Munshi bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta kondusif untuk aktiviti pembelajaran, kokurikulum dan pembangunan murid.

Beliau berkata SMK Sepagaya merupakan sekolah kedua dipilih di bawah Program Sekolah Angkat Madani Esscom selepas SK Lihak-Lihak, Semporna pada 2025.

Pada masa sama, Karnival Kerinov Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung serentak dengan majlis itu menghimpunkan penyertaan sekolah dari seluruh Sabah sebagai platform memupuk budaya inovasi, memperkasa pendidikan Stem serta memberi pendedahan kepada murid mengenai laluan kerjaya masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved