
LAHAD DATU: Penganjuran karnival dan program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dilihat sebagai pemangkin dalam melahirkan bakat dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), yang akan menjadi penggerak kepada visi negara untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Mohd Yusof Apdal, berkata mencetus minat dalam bidang Stem dalam kalangan generasi muda adalah langkah penting ke arah pembangunan bakat STI berciri adaptif.
Beliau berkata, karnival Stem merupakan salah satu inisiatif proaktif Mosti dalam merangsang minat dan penyertaan masyarakat, khususnya pelajar sekolah, dalam Stem menerusi aktiviti dan program pendidikan tidak formal.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Objektif utama program ini adalah untuk membina kecenderungan pelajar dan menyemai minat mereka dalam menerokai bidang Stem, di samping memberi peluang untuk mereka merasai pembelajaran tidak formal yang lebih interaktif, praktikal dan berbentuk demonstrasi di luar bilik darjah.
“Saya dimaklumkan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival ini seperti Ekspo Reka Bentuk Teknologi, Planet VR, cerapan matahari, pameran interaktif dan bengkel guru, yang sejajar dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu Inovasi dan Kelestarian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Karnival Stem Lahad Datu 2025 anjuran SJKC Sin Wah dengan kerjasama Planetarium Negara dan UScience, Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Jumaat.
Menurut Yusof, di peringkat kementerian, Mosti sentiasa menekankan aspek pembudayaan STI bukan saja di sekolah bandar, tetapi juga di kawasan luar bandar seluruh Malaysia, menerusi program seperti Minggu Sains Negara, Malaysia Techlympics dan program STI 100 on the Power of Three (STI 100³) yang melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Beliau menegaskan bahawa program dan karnival sebegini penting dalam menanam minat awal dalam kalangan pelajar untuk melahirkan generasi muda yang mampu menggerakkan kemajuan negara.
Usaha ini juga menyokong Teras Kelima: Pembudayaan dan Aplikasi STIE di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 (DSTIN) yang bertujuan mempertingkat kemahiran pemikiran saintifik dan kritikal melalui pembelajaran tidak formal.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke sekolah lain, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Langkah ini penting bagi memastikan program pembudayaan Mosti bersifat inklusif dan tiada pihak yang tercicir daripada menikmati peluang pembelajaran yang disediakan,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Yusof turut merakamkan ucapan tahniah kepada SJKC Sin Wah atas penganjuran Karnival Stem Lahad Datu 2025 serta Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan program ini.
Beliau turut menyuarakan harapan agar karnival ini akan terus dilaksanakan dan diperluaskan ke seluruh Sabah, bagi memastikan pelajar negeri ini menjadi saintis muda yang akan menjadi tonggak harapan negara.




