Program tahunan Rentak Selangor berlangsung Oktober, tema seni 80-an

28 Aug 2024 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 28 OGOS: Program Rentak Selangor yang menampilkan kepelbagaian persembahan seni dan budaya diteruskan pada Oktober ini bertema era 80-an.

EXCO budaya berkata program yang dianjurkan setiap tahun sejak 2016 itu memberi peluang generasi kini mengenali muzik serta tarian era tersebut termasuk menampilkan artis-artis lama.

“Berdasarkan kajian, konsep rock kapak dan malar segar mula wujud pada era 80-an. Oleh itu, kita bercadang menampilkan artis-artis di era 80-an yang aktif di Selangor pada program tersebut.

“Selain itu, kita juga adakan sketsa berkaitan cara kehidupan masyarakat 80-an yang dilakonkan sendiri artis-artis zaman tersebut berdasarkan situasi waktu itu.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri menghargai artis-artis lama…mereka ini tidak meminta bayaran tetapi mahu dihargai,” katanya kepada SelangorKini.

image is not available
EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah menyampaikan cek cura kepada Ketua Kumpulan K.I.T.A (Kami Ini Teman Anda) Mohd Zazly Zainal Ariffin yang dinobatkan johan Kumpulan Muzik Keroncong Tradisional ketika Konsert Rentak Selangor dan Manifestasi Keroncong 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program Rentak Selangor diperkenalkan sejak 2016 sebagai usaha menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu. Selain itu, program turut menampilkan 10 jenis persembahan antaranya muzik gambus, cempuleng dan tarian kuda.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), acara tersebut menjadi platform anak untuk seni untuk membuat persembahan yang julung kali diadakan secara maya.

image is not available
Persembahan nyanyian penyanyi 70-an A. Razak Ismail ketika Konsert Rentak Selangor: Nostalgia Lagu-Lagu 70an di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI