liza07/01/2026 - 11:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Jan – Projek cari gali dan pengeluaran air mineral premium oleh Bubbles O2 Sdn. Bhd di Ladang Gambang Yayasan Pahang dijangka mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
Projek bernilai RM20 juta itu melibatkan kawasan seluas 74 ekar di Ladang Gambang, Mukim Kuala Kuantan, merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri daripada cari gali sumber air bawah tanah, pemprosesan, pengeluaran hingga pengkomersialan air mineral.
Operasi dijangka bermula pada Februari 2027, tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya keperluan teknikal, perundangan dan alam sekitar.
Pengeluaran sulung air mineral itu dijangka bermula dalam tempoh enam bulan akan datang dan berpotensi diperluas ke kawasan lain, termasuk Pahang Barat, berikutan permintaan tinggi di pasaran.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek itu juga dijangka menghasilkan sekurang-kurangnya 14 juta botol air setahun, sekaligus merancakkan ekonomi negeri.
"Pelaburan strategik ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri menarik pelaburan berimpak tinggi yang memberi pulangan terus kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih kepada Bubbles O2 Sdn. Bhd yang memilih Pahang untuk pelaburan ini," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah Bubbles O2 di tanah milik Yayasan Pahang di Gambang.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada pelabur dengan memastikan proses kelulusan dipermudahkan dan kerenah birokrasi dielakkan, tanpa menjejaskan pematuhan undang-undang dan tadbir urus.
"Pelabur mempunyai banyak pilihan, jadi kita perlu memudahkan mereka beroperasi di Pahang, namun pada masa sama tetap mengutamakan peraturan dan tadbir urus yang baik.
“Contohnya kerjasama dengan Bubbles O2 ini hanya mengambil masa 15 bulan untuk direalisasikan,” katanya.
Pengeluaran sulung air mineral itu dijangka bermula dalam tempoh enam bulan akan datang dan berpotensi diperluas ke kawasan lain, termasuk Pahang Barat, berikutan permintaan tinggi di pasaran.- DagangNews.com

