SP Setia lancar Setia SV2, kondominium 34 tingkat bernilai RM343 juta di Jelutong

30 Dec 2025 • 4:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SP Setia lancar Setia SV2, kondominium 34 tingkat bernilai RM343 juta di Jelutong image is not available liza30/12/2025 - 16:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Dis – SP Setia Bhd melancarkan projek pembangunan kediaman terbaharunya, Setia SV2 di Lorong Slim, Jelutong, Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM343 juta

 

Projek itu menampilkan pembangunan kondominium setinggi 34 tingkat dengan 268 unit kediaman.

 

Setia SV2 dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.3 ekar di kawasan perbandaran Jelutong yang dijangka siap sepenuhnya pada awal 2030 dengan harga cadangan bermula daripada RM969,000.

 

Pengurus Besar Bahagian Datuk Muhamad Zaili Muhammad Yusof berkata pembangunan ini direka bentuk untuk memenuhi keperluan keluarga kontemporari yang semakin berkembang. 

 

“Berdasarkan kejayaan pelancaran sebelum ini di Pulau Pinang menunjukkan permintaan tinggi untuk unit dengan susun atur luas, fleksibel serta ciri pintar dan mampan.

 

“Setia SV2 menyasarkan kedua-dua pelabur dan penghuni pemilik, termasuk profesional muda serta keluarga berbilang generasi.

 

“Pembangunan ini menawarkan pelbagai susun atur unit untuk memenuhi keperluan berbeza bagi setiap peringkat kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

image is not available

 

Jenis A berkeluasan 1,087 kaki persegi sesuai untuk pasangan bujang dan muda dengan ruang yang padat tetapi fleksibel. 

 

Jenis B pula berkeluasan 1,421 kaki persegi dilengkapi dapur kering dan basah serta balkoni luas untuk keluarga yang santai.

 

Jenis B1, berkeluasan 1,367 kaki persegi, menampilkan konfigurasi 3+1 dengan tingkap dapur kaca boleh lipat dan akses tanpa halangan, sesuai untuk keluarga yang semakin berkembang. 

 

Jenis C pula mempunyai keluasan 1,647 kaki persegi dengan balkoni luas, direka untuk isi rumah berbilang generasi.

 

Setia SV2 turut menggabungkan ciri rumah pintar seperti kunci pintar dan sistem automasi untuk keselamatan dan kemudahan penghuni.

 

Elemen mampan lain termasuk panel solar untuk kawasan umum dan sistem penuaian air hujan untuk pengairan, serta stesen pengecasan EV bagi menyokong mobiliti hijau.

 

Kemudahan utama pembangunan ini merangkumi kolam renang, jakuzi, kawasan golf mini, gelanggang serbaguna dan ruang hijau seperti taman anak sungai dan taman zen. 

 

Selain itu, kemudahan komuniti lain ialah seperti ruang kerja bersama, ruang istirahat sosial dan bilik mesyuarat turut disediakan.

 

Pelancaran Setia SV2 membuktikan komitmen berterusan SP Setia dalam membangunkan kediaman berkualiti tinggi dan mampan sambil membentuk komuniti yang berkembang maju.  - DagangNews.com

Terkini standard