
SABAK BERNAM, 4 JUN: Projek akuakultur moden di Sungai Nibong di sini dijangka memperkukuh jaminan bekalan makanan Selangor menerusi peningkatan pengeluaran udang melalui kaedah penternakan berskala besar berasaskan teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Saipolyazan M. Yusop berkata projek itu merupakan sebahagian daripada pembangunan akuakultur seluas 600 hektar di Sabak Bernam, dengan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 100 hektar yang telah dilancarkan.
Menurut beliau, daripada keluasan tersebut, 50 hektar akan dibangunkan oleh Farmerex Sdn Bhd bagi tujuan penternakan udang menggunakan teknologi akuakultur moden untuk meningkatkan hasil pengeluaran serta menyokong agenda jaminan makanan negeri.
“Salah satu objektif pembangunan 50 hektar pertama ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran udang. Berdasarkan projek akuakultur terdahulu, satu kolam mampu menghasilkan sehingga 40 tan metrik udang bagi setiap kitaran tuaian.
“Kami berharap dengan penggunaan teknologi moden dan kemudahan pemprosesan hiliran, udang yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih meluas, sekali gus membantu mencapai sasaran jaminan bekalan makanan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam yang baharu di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bersempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor di Sabak Bernam.
Dalam satu kenyataan semalam, MBI memaklumkan pihaknya telah memeterai kerjasama dengan Farmerex menerusi dua perjanjian bagi membangunkan projek akuakultur komersial di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS), Sabak Bernam.
Farmerex merupakan anak syarikat milik penuh Camaroe Bhd, syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia dan mempunyai pengalaman luas dalam industri akuakultur serta pemprosesan perikanan.
Projek tersebut merupakan usaha niaga pertama yang akan beroperasi di bawah ZIPS sejak ia dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 25 April lalu.
Saipolyazan berkata perjanjian bersama Farmerex kini sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa berkaitan memandangkan projek itu memerlukan beberapa kebenaran kawal selia termasuk kelulusan alam sekitar dan permit berkaitan pengambilan air laut.
“Selepas semua kelulusan yang diperlukan diperoleh, kita akan meneruskan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata projek berkenaan merupakan permulaan kepada pembangunan akuakultur berskala besar yang dirancang di Sabak Bernam dan akan dilaksanakan secara berfasa bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak pemain industri.
“Projek ini akan terus dibangunkan secara berperingkat supaya lebih banyak syarikat dapat mengambil bahagian dan bersama-sama merealisasikan matlamat jaminan bekalan makanan yang kita sasarkan di Sabak Bernam,” katanya.
