Projek besarkan Sungai Tawau dilaksana

LocalEnvironment
27 Jul 2026 • 3:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Projek besarkan Sungai Tawau dilaksana

TAWAU: Projek Pembesaran Sungai Tawau Fasa 1B yang dibatalkan pada 2018 akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas mendapat peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan sebagai langkah menangani banjir di daerah ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui (gambar) berkata beliau sudah mendapat jaminan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa peruntukan khas akan disalurkan bagi projek terbabit.

Lo berharap tiada lagi halangan untuk melaksanakan projek itu termasuk pemasangan pintu pasang surut (tidal gate) yang turut diperlukan bagi menghalang banjir khususnya ketika air pasang kerana pintu akan tertutup secara automatik.

“Kita memerlukan tidal gate di empat kawasan iaitu Sungai Tawau, Sungai Apas, Sungai Tanjung Batu dan Sungai Kinabutan dan baharulah kita boleh mengelakkan banjir yang turut datang bersama air pasang,” katanya.

Bagi Projek Tebatan Banjir Tawau, katanya, beliau dimaklumkan bahawa projek berkenaan kini di peringkat tender yang dijangka akan dianugerahkan selewat-lewatnya September depan.

Lo berkata benteng atau tembok akan dipasang di SK Kuala Apas dan SK Batu 22 bagi mengelakkan air banjir daripada memasuki kawasan sekolah memandangkan kedudukannya berhampiran muara sungai.

“Bagi SK Kuala Apas, permohonan pembinaan tembok perlindungan sudahpun diluluskan dan kerja-kerja berkaitan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Projek ini dijangka dapat mengurangkan risiko air memasuki kelas sekali gus memastikan proses pembelajaran di sekolah tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata 12 dewan terbuka membabitkan kos keseluruhan hampir RM20 juta sudah dibina di sekolah-sekolah sekitar Parlimen Tawau dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Katanya, Dewan Terbuka SMK Balung merupakan dewan terbuka terbesar di Sabah dan berkemungkinan terbesar di Malaysia yang mampu menampung sehingga 2, 000 orang pada satu-satu masa.

Menurut beliau, usaha Parlimen Tawau menaik taraf kemudahan sekolah tidak hanya tertumpu kepada pembinaan dewan sahaja sebaliknya merangkumi penyediaan tempat letak kenderaan, penambahbaikan bekalan elektrik dan bekalan air.

Katanya, kemudahan asas lain juga disediakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar dan guru.

Lo yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata demikian selepas merasmikan Dewan Terbuka SMK Balung dan Anugerah Kecemerlangan STPM 2025 di SMK Balung pada Ahad.

Ia dirasmikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin.

Pada majlis itu, seramai 65 pelajar terbaik STPM 2025 daripada Kolej Tingkatan Enam, SMK Kinabutan dan SMK Balung menerima anugerah kecemerlangan mereka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved