Projek ECRL: 38 Terowong Berjaya Dikorek Lebih Awal 2 Bulan

LocalBusiness & Finance
8 Apr 2025 • 7:15 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjaya menyiapkan kerja-kerja pengorekan 38 daripada 41 terowong, dua bulan lebih awal dari jadual.

MRL dalam kenyataannya berkata, pencapaian itu direkodkan susulan kejayaan penembusan terowong ke- 38 iaitu ‘Terowong Serendah 1’ sepanjang 3.5 km semalam.

image is not available

Sementara itu, penembusan terowong ke-37 iaitu ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ sepanjang 189 meter disempurnakan 6 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata kerja-kerja pengorekan yang lancar di ‘Terowong Serendah 1’ dan ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ adalah hasil daripada usaha cemerlang dan komitmen pasukan Projek ECRL masing-masing di Seksyen 8 dan Seksyen 9, serta penggunaan teknologi pengorekan terowong yang maju dan amalan pembinaan yang selamat.

“Kami mencatatkan satu pencapaian penting dengan pengorekan ‘Terowong Serendah 1’ sepanjang 3.50 km yang merupakan elemen utama dalam jajaran ECRL yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor.

image is not available

“Sebanyak 512,582 meter padu tanah dan batuan telah dikeluarkan dengan selamat, dengan pergerakan tanah yang minimum serta gangguan yang minimal kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pengorekan menggunakan kaedah gerudi dan letup,” tambahnya.

Untuk makluman, ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ telah di selesaikan menggunakan kaedah “benching” untuk memudahkan laluan pintasan bagi jajaran ECRL, tanpa perlu melintasi jalan utama sepanjang Jalan Rawang-Bestari Jaya.

image is not available

Sementara itu, Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo, berkata, pihaknya akan terus fokus untuk mengekalkan momentum dan memastikan penyiapan projek mengikut jadual.

“Kami komited dalam memastikan piawaian keselamatan dan kualiti infrastruktur kereta api mega negara Malaysia berada pada tahap tertinggi, bagi mengukuhkan kesalinghubungan antara pantai timur dan pantai barat,” katanya.

image is not available

Pembinaan Fasa 1 Projek ECRL yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan siap pada Disember 2026, dengan operasi dijangka bermula pada Januari 2027.

Manakala, pembinaan Fasa 2 yang menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

Dengan panjang 665 kilometer, ECRL dijangka menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat dimana perjalanan Kota Bahru ke Gombak hanya mengambil masa dalam empat jam berbanding tujuh jam jika menggunakan pengangkutan jalan raya.