Projek Ekranoplan Liberty Lifter Dibatalkan Amerika Syarikat

TechnologyDigital
14 Jul 2025 • 11:41 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Projek Liberty Lifter ingin membangunkan pesawat ekranoplan untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat. Tetapi selepas 3 tahun, DARPA minggu lalu mengumumkan projek ini telah dibatallkan selepas lebih $90 juta dibelanjakan dalam proses rekaan awal dan melantik dua syarikat membina konsep awal.

Tiada sebab diberikan mengapa projek ini dibatalkan dengan DARPA berkata data yang dikumpul menerusi ujian simulasi dan bahan binaan membuktikan ekranoplan untuk kegunaan ketenteraan boleh dibangunkan. Keperluan DARPA ialah Liberty Lifter perlu membawa sekitar 100 tan kargo, bergerak sehingga 12,000 km dan mempunyai saiz yang sama seperti sebuah Boeing C-17 Globemaster III. Pesawat prototaip awal sepatutnya dilancarkan menjelang 2028.

image is not available
Rekaan Liberty Lifter oleh Aurora Flight Systems

Besar kemungkinan ia berkait rapat dengan pentadbiran Trump yang merombak semula perbelanjaan ketenteraan yang diluluskan pentadbiran terdahulu. Trump ingin membina kubah emas menangkis serangan peluru berpandu musuh dan meningkatkan perbelanjaan membina dron selepas melihat kejayaannya di Ukraine.

Pengumuman dilakukan beberapa minggu selepas projek ekranoplan China yang dibina secara rahsia tertiris dengan nama jolokan Raksasa Laut Bohai. Projek Liberty Lifter tidak sempat sampai ke peringkat prototaip tetapi China sudahpun membina prototaip pertama yang berbeza dengan ekranoplan yang dibina ketika era Kesatuan Soviet.