Projek Empangan Air Tawau kini siap 64 peratus

5 Oct 2025 • 11:25 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Projek Empangan Air Tawau di Gudang Empat yang sudah melalui beberapa fasa lanjutan kini siap 64 peratus sebelum jangkaan selesai dibina sepenuhnya menjelang 2028.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui berkata projek Bekalan Air Tawau Fasa III - Rekabentuk & Pembinaan Empangan Air itu dimulakan sekitar 2017 namun tertangguh atas pelbagai faktor seperti pertukaran kerajaan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 dan perubahan dasar tertentu.

“Projek ini kemudiannya dimulakan semula pada 2023.

“Bagaimanapun saya menegaskan kerajaan komited dalam memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual terkini sekali gus menyelesaikan isu bekalan air di Tawau,” katanya.

Lo berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat pembangunan Projek Empangan Tawau dan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di pejabat tapak projek tersebut pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Hamild Awang dan Timbalan Pengarah Sektor Operasi Jabatan Air Sabah Bahrin Antonio.

Dalam pada itu Lo berkata taklimat dan sesi libat urus itu penting bagi menunjukkan bahawa projek berkenaan bukan sekadar slogan sebaliknya pembinaan sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih di daerah Tawau.

“Menerusi sesi ini semua pihak berpeluang mendapat maklumat tepat dan jangka masa pembinaan empangan.

“Mudah-mudahan projek penyelesaian jangka panjang isu air ini berjalan lancar dan akhirnya Tawau tidak lagi berdepan isu gangguan bekalan air,” tambah beliau.