hamden07/09/2026 - 11:03 Gambar CNBC Indonesia Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept - Globaltec Formation Bhd (GFB) menerusi anak syarikat milik 70%, NuEnergy Gas Ltd, menerima rangsangan penting bagi pembangunan aset gasnya di Indonesia selepas Projek Tanjung Enim di Sumatera Selatan diiktiraf sebagai salah satu Projek Strategik Nasional negara itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Globaltec memberitahu, NuEnergy, yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX), telah menerima pemberitahuan daripada Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia bahawa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, meluluskan pembangunan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung Enim sebagai Projek Strategik Nasional.
Penetapan itu mencerminkan pengiktirafan rasmi kerajaan Indonesia terhadap kepentingan strategik Tanjung Enim dalam memenuhi keutamaan pembangunan tenaga republik berkenaan.
Menurut Globaltec status Projek Strategik Nasional dijangka memudahkan penyelarasan NuEnergy dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia serta pihak berkuasa kerajaan pusat dan wilayah lain dalam meneruskan Pelan Pembangunan pertama yang diluluskan bagi Tanjung Enim.
Ia turut dijangka membantu penyelarasan berkaitan akses tanah, kelulusan permit dan pembangunan infrastruktur sokongan, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko pelaksanaan serta memberikan keterlihatan jadual pembangunan yang lebih baik.

Sementar itu dalam makluman kepada Bursa Australia, NuEnergy memberitahu Tanjung Enim POD 1 menyasarkan kapasiti pembangunan sebanyak 25 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD), sekali gus menjadi antara projek penting NuEnergy dalam usaha membangunkan sumber metana arang batu (CBM) Indonesia.
NuEnergy berkata pembangunan PSC Tanjung Enim akan menyumbang kepada keselamatan tenaga Indonesia menerusi peningkatan bekalan gas domestik, selain mempelbagaikan campuran tenaga negara melalui pembangunan sumber CBM.
Pada masa sama, projek itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada Sumatera Selatan menerusi peluang pekerjaan tempatan, pembangunan kemahiran, pelaburan infrastruktur serta peluang perniagaan kepada industri tempatan.
Sebagai projek pembangunan gas domestik, Tanjung Enim turut sejajar dengan agenda peralihan tenaga dan objektif pembangunan tenaga nasional Indonesia yang lebih luas.
Ia juga menyokong fokus kerajaan untuk memperkukuh daya tahan tenaga serta menggalakkan pembangunan ekonomi yang mampan. - DagangNews.com



