PETRONAS sasar kekalkan pengeluaran minyak dan gas 2 juta tong mmboe/d hingga 2028

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 5:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS sasar kekalkan pengeluaran minyak dan gas 2 juta tong mmboe/d hingga 2028 Image from: PETRONAS sasar kekalkan pengeluaran minyak dan gas 2 juta tong mmboe/d hingga 2028 hamden02/09/2026 - 17:46

KUALA LUMPUR 2 Sept - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menyasarkan untuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia pada kadar dua juta tong setara minyak sehari (mmboe/d) sehingga 2028, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

 

Beliau berkata, sasaran itu akan disokong oleh pelaburan berterusan dalam aktiviti penerokaan, pembangunan laut dalam serta peningkatan pemulihan daripada medan pengeluaran PETRONAS.

 

“Bagaimanapun, untuk mengekalkan tahap itu memerlukan kita mencari kaedah baharu untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dan bukannya hanya bergantung kepada formula lama. Pengalaman kami sendiri bersama Searah Ltd, usaha sama serantau dengan Eni, mencerminkan perubahan tersebut.

 

“Ia dibina bukan semata-mata berasaskan perkongsian kepimpinan, tetapi turut menggabungkan modal, kepakaran teknikal dan perkongsian risiko bagi meneroka peluang pada skala yang tidak mampu dicapai oleh mana-mana pihak secara bersendirian,” katanya dalam ucaptama pada majlis pembukaan Oil and Gas Asia (OGA) 2026 pada Rabu.

 

Merentasi portfolio PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik berkata syarikat minyak nasional itu menerapkan pendekatan sama menerusi kerjasama, kolaborasi teknikal dan struktur komersial alternatif yang disesuaikan dengan keadaan setiap peluang.

 

Gabungan Kepakaran Rakan Kongsi

Beliau berkata hasil terbaik dicapai dengan menggabungkan pengetahuan dan keupayaan sedia ada PETRONAS dengan kepakaran rakan kongsi yang mempunyai keupayaan setanding, khususnya dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata prinsip sama perlu diperluaskan melangkaui pengendali kepada keseluruhan ekosistem perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), yang telah membina keupayaan besar sepanjang lebih empat dekad beroperasi di Malaysia.

 

“Kekuatan yang anda bina perlu dibawa ke pentas yang jauh lebih luas. Pentas yang jauh lebih luas daripada pasaran yang selama ini anda bersaing,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan di pentas lebih besar memerlukan lebih daripada sekadar kecekapan teknikal, dengan pemain OGSE perlu meningkatkan produktiviti dengan ketara, memperkukuh daya tahan kewangan, meningkatkan kematangan digital serta mengamalkan tadbir urus yang kukuh bagi dilihat sebagai rakan kongsi yang dipercayai.

 

“Lebih penting lagi, anda juga mesti mempunyai keyakinan untuk melabur lebih awal sebelum permintaan itu muncul. Adakah kita secara kolektif cukup terhubung, cukup berkeupayaan dan cukup berdaya saing?” soalnya.

 

Bukan Sekadar Memenangi Tender

Tengku Muhammad Taufik berkata daya saing tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan keupayaan syarikat memenangi tender seterusnya ketika keadaan pasaran menguntungkan, tetapi berdasarkan keupayaan untuk kekal relevan dalam tempoh sedekad akan datang ketika teknologi, keperluan tenaga kerja dan landskap modal industri terus berubah.

 

“Bolehkah kita secara kolektif mengekalkan momentum pada kadar, skala dan kedalaman teknikal yang bukan sahaja diperlukan, malah dituntut oleh dekad akan datang?” katanya.

 

Beliau berkata memenuhi piawaian tersebut bergantung kepada masa dan niat, termasuk pelaburan dalam tenaga kerja serta peningkatan produktiviti walaupun ketika kontrak tidak banyak.

 

Pemain industri juga perlu menerima pakai peralatan digital dan kaedah kerja baharu yang sudah dianggap sebagai amalan standard oleh pengendali terkemuka di tempat lain, selain membina daya tahan kewangan untuk menghadapi kemerosotan pasaran pada masa depan.

 

Teroka Luar Pasaran Tradisional

Tengku Muhammad Taufik turut menyeru syarikat OGSE Malaysia untuk meneroka pasaran di luar pasaran tradisional mereka dan melihat perkembangan di negara lain sebagai peluang, bukannya sekadar cabaran atau tekanan persaingan.

 

Beliau berkata terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari daripada syarikat tenaga dan perkhidmatan terkemuka di Asia serta seluruh dunia, sebagaimana pemain antarabangsa juga boleh mempelajari keupayaan yang telah dibangunkan syarikat Malaysia di dalam negara.

 

Menurutnya, peluang dalam bidang penangkapan karbon, perkapalan rendah pelepasan, penerokaan kawasan baharu, pembangunan laut dalam dan sistem tenaga digital terbuka kepada syarikat yang bersedia merebutnya.

 

“Saya yakin syarikat Malaysia boleh menjadi antara pihak yang bersedia dan membantu membina kerjasama yang diperlukan untuk merealisasikan peluang tersebut,” katanya.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata PETRONAS kekal komited untuk bekerjasama dengan pemain industri bagi membina landasan yang diperlukan, membuka ruang baharu serta menyediakan ekosistem dengan lebih banyak kepastian supaya perancangan dapat dibuat lebih awal.

 

“Namun, semua ini hanya dapat memberi manfaat kepada mereka yang berani untuk terbang lebih tinggi,” tambahnya.

 

Beliau menyeru pemain industri supaya menyamai komitmen tersebut dengan melabur penuh keyakinan, mengambil risiko yang dikira dan meletakkan diri sebagai rakan kongsi dalam membentuk hala tuju masa depan industri. - BERNAMA

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved