
Kontraktor penyelamat telah dilantik bagi menyambung projek Jambatan Rambungan, Lundu Sarawak.
Projek Jambatan Rambungan Disambung Semula Mulai Ogos 2024. Projek pembinaan Jambatan Rambungan di Lundu, Sarawak kini telah disambung oleh kontraktor penyelamat mulai bulan Ogos 2024.
Jambatan sepanjang 560 meter yang bernilai RM98.5 juta ini merupakan salah satu komponen penting dalam rangkaian jalan pesisir Sarawak yang menghubungkan Kuching dengan kawasan Lundu, Sematan, dan Telok Melano.

Pada awalnya ia dijangka siap pada tahun 2023, namun terdapat beberapa kekangan dan masalah dihadapi
Projek ini, yang bermula pada Disember 2019, telah mengalami kelewatan ketara akibat pelbagai cabaran termasuk kekurangan buruh, masalah teknikal, serta kekangan masa kerja akibat pasang surut air.
Pada awalnya, ia dijadualkan siap pada Jun 2023, namun terpaksa dilanjutkan beberapa kali akibat gangguan seperti pandemik Covid-19 dan masalah teknikal lain.
Setakat Jun 2023, kemajuan projek hanya mencapai 56 peratus. Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diarahkan untuk memantau perkembangan projek secara mingguan. Selain itu, usaha tambahan sedang dijalankan termasuk menambah sumber tenaga kerja, peralatan, dan dana untuk mempercepatkan penyiapan projek.

