Projek JanaVeteran tuai hasil pertama Halia KayTi

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 7:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Projek JanaVeteran tuai  hasil pertama Halia KayTi

KOTA TINGGI – Usaha membantu meringankan beban pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini membuahkan hasil apabila projek pertanian moden menerusi inisiatif JanaVeteran mula mencatatkan tuaian pertamanya yang dianggarkan bernilai hampir RM1.2 juta.

​Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut adalah satu u­saha penting untuk membantu veteran yang bersara pada usia muda agar tidak terus bergantung semata-mata kepada pencen.

Program ini adalah inisiatif Kementerian Pertahanan yang diper­kenalkan dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) bagi membantu veteran ATM menjana pendapatan mampan selepas bersara.

Ia juga bertujuan untuk memperkasa sosio ekonomi veteran menerusi sektor pertanian moden dan penjanaan pendapatan mampan.

“Kita menyedari bahawa ve­teran-veteran berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas mereka bersara. Kita juga tahu bahawa setiap tahun 5,000 anggota tentera bersara pencen.

Image from: Projek JanaVeteran tuai  hasil pertama Halia KayTi
Muhamad Nasir (kanan) bersama Norfarman menunjukkan hasil tuaian halia di ladang Telok Sengat, Kota Tinggi semalam.

“Jadi, salah satu daripada pendekatan yang diambil adalah kepada mana-mana veteran yang
minat dalam pertanian, kita menjayakan Projek JanaVeteran di Telok Sengat sebagai eksperimen.

“Yang mana lepas ini, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, banyak tanah-tanah Kementerian Pertahanan yang kita tidak ada pe­rancangan untuk diba­ngunkan bagi keperluan angkatan tentera akan kita benarkan BPlant kembangkan Projek JanaVeteran pertanian,” katanya.

Terdahulu Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi hadir merasmikan Program
Tuaian Pertama Projek Halia KayTi JanaVeteran di Ladang Telok Sengat di sini.

Projek strategik hasil kerjasama antara BPlant dan Jabatan Hal Eh­wal Veteran ATM (JHEV) itu melibatkan seramai 15 Veteran ATM yang mengusahakan 15 plot tanaman halia secara fertigasi di kawasan seluas 12 hektar.

​Bagi pesara Muhamad Nasir Ismail, 49, yang berasal dari Felda Air Tawar 1 berkata, pengalaman mengusahakan tanaman tebu seluas satu ekar secara sendiri selama empat hingga lima tahun atas dasar minat mendalam terhadap bidang pertanian sebelum ini sedikit sebanyak membantunya menyesuaikan diri dalam program tersebut.

​“Dengan elaun RM2,500 sebulan saya dipertanggungjawabkan menguruskan aspek pembajaan betul, memastikan pokok sihat serta kawalan racun dan musuh tanaman.

“Saya sangat berbangga kerana ini adalah projek terbesar di Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

​Sementara itu, bagi Norfarman Abdul Rashid, 51, pula berkata, peluang menyertai inisiatif ini me­ngubah haluan hidupnya selepas sebelum ini mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing.

Anak jati Sarawak itu berkata, biarpun tiada pengalaman langsung dalam bidang pertanian pada mulanya, sokongan padu daripada BPlant membolehkannya mempelajari ilmu baharu daripada pro­ses menanam hingga menuai. -KOSMO! ONLINE

The post Projek JanaVeteran tuai hasil pertama Halia KayTi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved