
BEAUFORT: Projek Kebun Dapur secara fertigasi Persatuan Isteri-isteri Anggota Bomba dan Penyelamat (Perisma) Daerah Beaufort membuahkan hasil apabila mencatatkan tuaian pertama sebanyak 1.6 tan lada bara, kira-kira dua bulan selepas anak benih diserahkan kepada persatuan itu.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) Datuk Ruslan Muharam menyifatkan pencapaian itu sebagai permulaan positif dalam usaha memperluaskan kegiatan pertanian komuniti, khususnya melalui kaedah fertigasi yang membolehkan tanaman diusahakan secara lebih tersusun walaupun dalam skala kecil.
Katanya, hasil tuaian berkenaan turut membuktikan Projek Kebun Dapur mampu diterjemahkan kepada aktiviti pertanian yang produktif sekiranya diusahakan secara berterusan.
“Saya berharap projek seperti ini dapat terus diusahakan, diperkasa dan dikembangkan oleh Perisma Beaufort, sekali gus menjana pendapatan ahli-ahlinya,” katanya ketika merasmikan tuaian pertama projek berkenaan di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Beaufort, di sini, Jumaat.
Ruslan yang juga wakil rakyat Lumadan berkata projek tanaman lada bara itu dilaksanakan di bawah Projek Kebun Dapur, yang antara lain bertujuan menggalakkan komuniti memanfaatkan kawasan bersesuaian untuk pengeluaran tanaman makanan serta menjadikan aktiviti pertanian sebagai kegiatan produktif.
Katanya, pemilihan lada bara sebagai tanaman projek turut memberi peluang kepada peserta memperoleh pendedahan praktikal mengenai pengurusan tanaman, bermula daripada penjagaan anak benih, pembajaan dan pengairan sehingga proses penuaian hasil.
“Melalui pendekatan fertigasi, kita mahu masyarakat melihat bahawa kegiatan pertanian boleh dilaksanakan secara lebih terancang dan tidak semestinya memerlukan kawasan yang luas.
“Yang penting adalah pengurusan yang baik, komitmen peserta dan kesinambungan projek supaya hasil yang diperoleh dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata pencapaian itu wajar dijadikan dorongan kepada Perisma Beaufort untuk mengembangkan projek berkenaan, termasuk meneroka potensi tanaman lain yang sesuai dilaksanakan di bawah konsep Projek Kebun Dapur.
Katanya, penglibatan pertubuhan seperti Perisma dalam aktiviti pertanian komuniti turut selari dengan usaha kerajaan memperluaskan penyertaan masyarakat dalam sektor agro-makanan serta menggalakkan penggunaan tanah secara produktif.
Dalam kunjungan sama, Ruslan turut meninjau kawasan yang dikenal pasti untuk dijadikan ruang aktiviti Perisma Beaufort.



