Projek kuasa hidro Nepal berisiko musnah selepas tragedi banjir

WorldEnvironment
2 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Projek kuasa hidro Nepal berisiko musnah selepas tragedi banjir

KATHMANDU: Projek hidroelektrik di Nepal berdepan risiko besar akibat banjir yang memusnahkan atau merosakkan kemudahan penjanaan elektrik di beberapa daerah seperti berlaku pada Rabu minggu lalu.

Sejumlah pekerja pada ming­gu lalu terpaksa membersihkan timbunan lumpur tebal di sebuah stesen janakuasa yang dilanda banjir di tengah Nepal dalam usaha memulihkan bekalan elektrik kepada lebih 20,000 penduduk.

Banjir yang melanda Nepal dan China sehingga mengorbankan ratusan nyawa dan menyebabkan ribuan orang masih hilang turut menjejaskan kemudahan hidroelektrik, sekali gus melumpuhkan kira-kira 10 peratus kapasiti penjanaan elektrik Nepal.

Dalam bencana itu, seramai 93 pekerja masih belum diketahui nasib mereka di dalam terowong Projek Hidroelektrik Rasuwagadhi bernilai 18. 69 bi­llion rupee (RM487 juta) yang siap dibina tahun lalu susulan banjir pada minggu lalu.

 Air Sungai Bhotekoshi melimpah dan banjir melanda Projek Hidroelektrik Rasuwagadhi berkapasiti 111 megawatt.

Pekerja-pekerja di tapak projek itu kemudian terputus hubungan.

Projek hidroelektrik yang sedang beroperasi atau dalam pembinaan dilaporkan musnah sepenuhnya atau mengalami kerosakan sebahagian di Rasu­wa, Nuwakot dan Dhading, antara daerah paling teruk terjejas.

Ratusan pekerja dari 12 projek hidroelektrik turut dilaporkan masih hilang, menurut Persatuan Pengeluar Tenaga Bebas Nepal.

Sebahagian daripada mereka dipercayai berlindung di dalam terowong tetapi terperangkap dan masih menunggu untuk di­selamatkan, menurut pegawai.

Semntara itu, Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah menyifatkan banjir maut yang me­landa kawasan Himalaya minggu lalu sebagai kejadian ‘luar biasa’ yang didorong perubahan iklim, dan menggesa tindakan antarabangsa bagi menangani ancaman berkenaan.

Shah berkata, banjir di Sungai Bhote Koshi di Rasuwa bukan kejadian biasa, sebaliknya antara bencana besar di rantau itu yang tercetus akibat runtuhan salji dan ais di kawasan Himalaya.

Banjir itu menyebabkan lebih 1,000 nyawa terkorban dan hampir 4,500 orang masih hilang. Kerajaan Nepal turut memberi amaran kos pembinaan semula boleh mencecah bilion dolar.

“Terowong itu dibina untuk memberi akses kepada infrastruktur hidroelektrik dan mengalihkan aliran air,” kata ahli geosains Universiti Graz, Austria, Jakob Steiner, sambil menjelaskan terowong ber­kenaan cukup besar untuk dilalui lori.

Selain kemudahan hidroelektrik, puluhan kilometer jalan raya, beberapa jambatan serta bangunan penting termasuk sekolah dan hospital turut musnah.

Steiner berkata, banjir berskala kecil kadangkala boleh dikawal melalui lencongan aliran bagi menghalang arus deras da­ripada menghampiri infrastruktur serta terowong bernilai tinggi.

Namun, bagi bencana sebesar banjir terbaharu itu, pertahanan fizikal mungkin tidak mampu menanganinya.

Dalam keadaan demikian, sistem amaran awal menjadi perlindungan paling penting bagi menyelamatkan nyawa, katanya.

Beliau berkata, banjir dikesan di sempadan China-Nepal selepas bergerak pantas dari kawasan puncanya, menyebabkan masa untuk memberi amaran kepada penduduk di hulu su­ngai amat terhad.

 

The post Projek kuasa hidro Nepal berisiko musnah selepas tragedi banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved