Projek LINE mula beroperasi, Maybank IB ramal Lotte Chemical Titan catat kerugian lebih besar

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2025 • 11:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek LINE mula beroperasi, Maybank IB ramal Lotte Chemical Titan catat kerugian lebih besar

image is not available

06/08/2025 - 11:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA UMPUR 6 Ogos - Lotte Chemical Titan Holding Bhd diramal terus catat kerugian lebih besar apabila projek LINE (Lotte Chemical Indonesia New Ethylene) miliknya di Indonesia mula beroperasi pada September 2025, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Katanya, perkembangan itu dilihat tidak memihak kepada kumpulan kerana Lotte Chemical Titan akan mula mencatat susut nilai tahunan sekitar RM700 juta dan kerugian akan terus bertambah kerana harga jualan rendah tidak mampu menampung kos pengeluaran.

"Kerugian bersih kumpulan dijangka meningkat sebanyak 18% tahun ke tahun bagi tahun kewangan 2026 (FY26)," katanya dalam satu nota kajian.

Bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), Lotte Chemical Titan merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM160.5 juta — meningkat 15% suku ke suku, namun 20% lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah kerugian teras bagi separuh pertama 2025 (1HFY25) sebanyak RM300 juta, menurun 26% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Angka itu diselaraskan bagi kerugian pertukaran asing bersih sebanyak RM11.7 juta,pelarasan nilai inventori kepada nilai realisasi bersih sebanyak RM11.1 juta dan pemulihan peruntukan hutang dagangan sebanyak RM2 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, kerugian yang dicatatkan adalah selari dengan jangkaan, merangkumi 50% dan 45% daripada unjuran kerugian setahun penuh oleh pihak syarikat dan konsensus masing-masing.

Meskipun pelbagai langkah kawalan kos telah diambil, Lotte Chemical Titan masih mengalami kerugian pada peringkat jualan kasar, dengan kerugian setiap unit yang dijual.

Margin antara harga polimer dan nafta kekal lemah pada suku kedua 2025 dan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) 39 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard