Masalah air di Ranau berakhir menerusi projek RM62 juta

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 1:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Ribuan penduduk tidak lagi akan berdepan bekalan air paip yang tidak menentu selepas siapnya Projek Pemasangan Paip Air Mentah bernilai RM62 juta dari sumber pengambilan di Sungai Mamut Ulu ke loji rawatan baharu di sini.

Masalah mendapatkan bekalan air bersih sudah lama menghantui penduduk daerah ini sejak gempa bumi 2015, khususnya pada musim hujan apabila Sungai Liwagu melimpah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan itu berkata, sejak gempa bumi melanda Ranau pada 2015, daerah ini sering mengalami gngguan bekalan air.

Keadaan itu memaksa pengambilan air Jabatan Air Ranau ditutup dan pengguna tidak mendapat bekalan.

Masalah berkenaan diselesaikan melalui pembinaan sebuah loji rawatan air baharu dengan sumber pengambilan dari Sungai Nakamura dan Sungai Mamut Ulu.

“Projek ini merangkumi pemasangan paip untuk air mentah dan air terawa, serta loji rawatan moden yang mampu menghasilkan lima juta liter air sehari.

“Sistem ini direka untuk menambah bekalan daripada Loji Rawatan Air Kimolohing bagi memastikan perkhidmatan air yang lebih stabil dan ditingkatkan di seluruh daerah,” katanya.

Masidi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta Syarikat Prestimaju Sdn Bhd yang menyiapkan projek ini tiga bulan lebih awal daripada jadual.

“Air bersih adalah nadi pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Dengan kerjasama erat antara Kerajaan, agensi dan sektor swasta, kita dapat merealisasikan projek yang memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Adun Paginatan merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata projek ini adalah sebahagian daripada agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dipelopori kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kesejahteraan rakyat.

Abidin berkata kepimpinan GRS berada di landasan tepat dan apa yang diperlukan ialah sokongan berterusan daripada rakyat.