Projek LRT Pulau Pinang dilanjutkan ke Seberang Perai: Anwar

LocalPolitics
8 Nov 2025 • 12:30 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang dikenali sebagai Mutiara Line, akan dilanjutkan hingga ke Seberang Perai bagi memastikan pembangunan negeri itu seimbang dan dinikmati semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan bagi memastikan manfaat projek infrastruktur utama dikongsi semua rakyat.

Malah kata Anwar, beliau sendiri membuat keputusan itu selepas meneliti cadangan asal yang hanya melibatkan kawasan di pulau tanpa menyambung laluan ke tanah besar.

“Mereka (pembangkang) tanya mengapa kos LRT Pulau Pinang terlalu mahal dan mengapa harga itu bertambah. Apabila dibentang kepada saya oleh kerajaan negeri, projek LRT itu hanya di pulau dan saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, tidak mahu projek itu tersekat di situ.

“Jadi saya yang mencadangkan supaya LRT menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai dan projek itu akan sampai ke Penang Sentral di Seberang Perai.

“Kalau tidak, mereka kata kita hanya jaga pulau sahaja, kepentingan orang Cina sahaja, tidak jaga seberang, tak jaga Melayu. Ini polemik yang tidak menguntungkan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, hari ini.

Pada 16 Oktober lalu, ketika membahaskan Bajet 2026 di Parlimen, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) telah mempersoalkan pembangunan projek bernilai RM16.8 bilion itu kepada Pulau Pinang yang dilihat bukan suatu keperluan mendesak.

Tuan Ibrahim mendakwa projek itu menunjukkan kerajaan Persekutuan memberikan tumpuan kepada Pulau Pinang dan mengetepikan usaha menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Jarak jajaran projek LRT itu dianggarkan kira-kira 29 kilometer (km).

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menolak dakwaan pihak tertentu mengenai kos projek meningkat kerana faktor tidak menentu sambil menjelaskan bahawa kenaikan kos berpunca daripada keputusan menambah jajaran ke Seberang Perai.

LRT Mutiara Line merupakan laluan LRT pertama di luar Lembah Klang yang melibatkan pembinaan laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik.

Jajaran itu direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan menambah baik ketercapaian. - 8 November, 2025

The post Projek LRT Pulau Pinang dilanjutkan ke Seberang Perai: Anwar appeared first on Scoop.