Projek M Grand Minori dibangunkan Mah Sing di Johor terima sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan Ogos lalu

29/09/2025 - 12:52
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Sept – Projek hartanah premium terbaharu Mah Sing Group Bhd iaitu M Grand Minori di Taman Pelangi, Johor terus mencatatkan sambutan memberangsangkan daripada pembeli sejak dilancarkan pada Ogos lalu.
Kejayaan projek pertama di bawah siri M Grand itu dilihat sebagai indikator penting keyakinan pelabur terhadap prospek pasaran hartanah Johor yang semakin rancak, seiring perkembangan infrastruktur seperti projek RTS Link dan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Baru-baru ini, Mah Sing menganjurkan acara istimewa di galeri jualannya termasuk menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dan penyampaian hadiah bagi kempen ulang tahun ke-30 syarikat.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, antara faktor utama yang melonjakkan permintaan projek itu ialah pembukaan galeri jualan di lokasi projek yang beroperasi setiap hari sehingga pukul 9 malam.
“Waktu operasi galeri jualan ini memudahkan golongan profesional serta pekerja rentas sempadan menandatangani SPA selepas waktu kerja.
“Pengunjung juga berpeluang melawat tiga unit pameran berperabot lengkap dengan harga bermula RM390,000, meneliti model binaan dengan lebih terperinci serta merasai sendiri pengalaman berada di lokasi projek.
“Pengalaman ini memberi keyakinan tambahan kepada pembeli tentang nilai, keselamatan dan prospek jangka panjang projek serta melihat sendiri kemudahan yang bakal dinikmati apabila projek siap kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam majlis tersebut, pembeli rumah dari Johor muncul sebagai pemenang utama dengan membawa pulang dua hadiah utama iaitu Tesla Model 3, sebuah BYD M6 serta hadiah wang tunai.
Pada masa sama, Mah Sing melancarkan kempen jualan baharu bertemakan “Grab Your _______” yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta sehingga 31 Disember 2025 termasuk sebuah rumah baharu, gajet elektronik, peralatan rumah, pakej pelancongan dan penginapan mewah.
Beliau berkata, pembangunan hartanah seperti M Grand Minori mencerminkan visi Mah Sing menyediakan kediaman berorientasikan gaya hidup, strategik dan memenuhi aspirasi pemilikan rumah.
“Pada masa sama, melalui kempen jualan, kami dapat memberi ganjaran kepada pembeli dan mencipta pengalaman pemilikan rumah yang lebih bermakna kepada mereka,” katanya.

Lokasi M Grand Minori terletak hanya tiga kilometer dari Stesen RTS Bukit Chagar menjadikan projek ini antara yang bakal menerima limpahan permintaan daripada komuniti pekerja rentas sempadan apabila sistem transit berkapasiti tinggi itu beroperasi sepenuhnya menjelang 2026/2027.
Pelancaran JS-SEZ turut dijangka menarik pelaburan asing dalam sektor elektronik, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan.
Kedua-dua pemangkin ini akan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab pertumbuhan serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Mah Sing, James Lim pula berkata, sambutan di Johor membuktikan pembeli menghargai kediaman berkualiti dengan ciri gaya hidup moden serta akses lancar yang ditawarkan.
“Fasa pertama M Grand Minori menampilkan dua menara pangsapuri servis dengan keluasan binaan antara 403 kaki persegi hingga 835 kaki persegi serta podium runcit.
“Ia turut dilengkapi 41 kemudahan gaya hidup termasuk kolam renang, gimnasium, ruang komuniti, yoga dan kemudahan mesra keluarga.
“Projek ini juga menitikberatkan elemen kelestarian dengan penyediaan stesen pengecas EV, sistem tadahan hujan, sistem pengumpulan sampah automatik serta pensijilan GreenRE sementara, seiring komitmen Mah Sing terhadap pembangunan mampan,” katanya.- DagangNews.com
standard

