Projek naik taraf Jalan Lok Kawi RM70.6 juta siap dalam tempoh dua tahun

28 Jul 2026 • 4:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Projek naik taraf Jalan Lok Kawi RM70.6 juta siap dalam tempoh dua tahun

PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta disasarkan siap dalam tempoh dua tahun bagi mengatasi kesesakan trafik yang semakin kritikal di laluan berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu telah bermula pada Mac lalu dan akan dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual.

Katanya, pemantauan akan dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah memandangkan projek berkenaan memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Projek ini telah bermula pada Mac lepas dan dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan. Kita akan memantau pelaksanaannya dengan rapi kerana ia amat penting kepada penduduk di kawasan ini.

“Minggu lalu, saya bersama pengurusan KKR, JKR Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak mengadakan perbincangan selama dua hari bagi menyelaraskan isu yang selama ini mengekang pelaksanaan projek serta mengenal pasti langkah penambahbaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor., di sini hari ini.

Alexander berkata, projek berkenaan melibatkan naik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer daripada jalan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR U5.

Katanya, daripada keseluruhan kos RM70.6 juta, sebanyak RM48 juta diperuntukkan bagi kerja pembinaan, RM17 juta bagi pengambilan tanah dan pampasan kepada pemilik premis yang terjejas, manakala kira-kira RM960,000 untuk urusan pengambilan tanah.

“Sebanyak 81 lot tanah dan premis terlibat dalam proses pengambilan tanah. Pampasan yang dibayar bukan sahaja melibatkan tanah, malah struktur bangunan, justeru kosnya lebih tinggi.

“Kita mahu memastikan semua pihak yang terjejas menerima pampasan sewajarnya tanpa mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata, projek itu amat diperlukan berikutan jumlah trafik harian di laluan tersebut kini mencecah kira-kira 27,000 kenderaan sehingga menyebabkan tahap perkhidmatan jalan berada pada Tahap F, iaitu tahap paling kritikal.

Selain menaik taraf jalan dan tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat, projek itu turut merangkumi pembinaan sebuah jejantas pejalan kaki dengan laluan berbumbung ke sekolah, tiga hentian bas, dua perlindungan motosikal, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat serta sistem perparitan baharu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, projek berkenaan amat dinantikan penduduk memandangkan kesesakan trafik di laluan itu menyebabkan tempoh perjalanan yang sepatutnya hanya 45 minit meningkat sehingga hampir tiga jam pada waktu puncak.

Menurut beliau, KKR turut memberi komitmen untuk memulakan proses tender bagi komponen kedua projek iaitu jajaran pintasan Pangalat-Papar pada November ini.

“Apabila kedua-dua projek ini dilaksanakan, kesesakan di titik panas utama di Papar dijangka dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

The post Projek naik taraf Jalan Lok Kawi RM70.6 juta siap dalam tempoh dua tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved